Selebriti terpalit skandal pengubahan wang haram

PENGUBAHAN wang haram adalah aktiviti melibatkan wang atau aset yang diperolehi daripada kegiatan haram tetapi kelihatan sah. 

Aktiviti mencuci duit ‘kotor’ bagi menyembunyikan sumber asal pendapatan tersebut bukan lagi perkara baharu dalam masyarakat dan pelbagai cara dilakukan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Satu cara penjenayah menghalalkan dana haram adalah dengan menubuhkan pelbagai syarikat dan perniagaan untuk mencampurkan wang yang haram dengan pendapatan sah termasuk melaburkan wang itu kepada golongan artis.

HibGlam minggu ini menyenaraikan beberapa selebriti yang terkait kes  pengubahan wang haram.

  • Shuib, Allahyarham Siti Sarah

TERKAIT dengan kes pengubahan wang haram, pelawak Shuib dan arwah isterinya, Siti Sarah pernah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk siasatan pada Oktober 2020. 

Kehadiran mereka dipercayai berhubung siasatan pengubahan wang haram perniagaan produk minuman Shuib. 

Disoal siasat selama 23 jam, Shuib atau Shahmira Muhammad menganggap semua itu sebagai cabaran dalam dunia perniagaan. 

Selepas kejadian, tersebar gambar kereta mewah yang disita SPRM dalam media sosial sehingga mencetuskan spekulasi aset tersebut milik pelawak berusia 40 tahun itu. 

Malah, ramai juga perasan Shuib menggayakan jam tangan mewah jenama Rolex, Audemars Piguet dan Richard Mille yang dianggarkan bernilai sekitar RM60,000 hingga RM4 juta. 

  • Aeril Zafrel, Wawa Zainal 

SERING menonjolkan kemewahan dalam media sosial, pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal dinasihatkan agar berjaga-jaga supaya tidak menjadi perhatian pihak berkuasa. 

Hal ini berikutan SPRM menyita 24 kereta mewah dan satu antaranya milik seorang selebriti popular yang berkait rapat dengan siasatan terhadap kes pengubahan wang haram. 

Namun, Wawa atau nama lengkapnya Nur Hawa Zainal Abidin memaklumkan kekayaan yang dikecapi dalam perniagaan bukan menggunakan jalan pintas seperti didakwa. 

Pada tahun sama,  Aeril memuat naik gambar dengan sebuah kereta mewah sambil berseloroh, ‘ini kereta pinjam, jangan ‘tag’ (menandai) SPRM.’

  • Jalaluddin Hassan

MINGGU lalu, dunia industri hiburan dikejutkan dengan beberapa selebriti yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan rentetan kes rasuah melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan. 

Nama pelakon senior Datuk Jalaluddin Hassan antara artis yang didakwa terlibat hanya disebabkan dia  merupakan duta syarikat tersebut selama setahun. 

Pun begitu, pelakon filem Pulang itu terkejut berdepan berita itu selain menegaskan hanya berperanan sebagai duta bagi tujuan promosi. 

Bagaimanapun, Jalaluddin sedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya dipanggil kelak. 

Dalam masa sama, Jalaluddin juga menafikan dakwaan kononnya menerima bayaran sehingga RM400,000 sepanjang menjadi duta. 

  • Ziana Zain 

NAMA Ziana Zain terkena tempias memandangkan dia duta, penyanyi lagu tema bahkan konsertnya ditaja syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky. 

Sewaktu pemilik nama lengkap Siti Roziana Zain itu dikerumuni media, dia tiada respons berkenaan kes terbabit walaupun diminta mengesahkan kesahihan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk siasatan kes rasuah.  Pelantun Madah Berhelah itu malah bergegas meninggalkan acara yang dihadirinya tanpa mengulas lanjut. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok