Sanggup basah lencun demi Adam Levine, Maroon 5

SELEPAS 13 tahun, kumpulan muzik terkenal Amerika Syarikat, Maroon 5 kembali menemui peminat negara ini sempena konsert jelajah Asia Maroon 5 2025 yang dibawakan  Live Nation Malaysia. 

Kali terakhir band yang dianggotai Adam Levine selaku vokalis, James Valentine (gitar) , PJ Morton (keyboard) , Sam Farrar (bes), Jesse Carmichael (keyboard & gitar) dan Matt Flynn (dram) ke Kuala Lumpur adalah pada 2012 menerusi  konsert jelajah Overexposed 2012. 

Bertempat di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, lebih 12,000 peminat hadir demi melepaskan kerinduan mereka terhadap Maroon 5 pada 12 Februari lalu. 

Ini adalah kali pertama penulis menonton konsert kugiran kegilaan ramai itu. Pastinya ada perasaan teruja sama seperti ribuan peminat lain. 

Sebelum Maroon 5 muncul di atas pentas, konsert pada malam itu terlebih dahulu digegarkan dengan persembahan kumpulan muzik dari Amerika Syarikat, Culture Wars sekitar pukul 6.30 petang. 

Ini merupakan kali kedua Culture Wars menjadi artis pembuka selepas konsert LANY tahun lalu. Mereka menyampaikan lapan lagu antaranya, It Hurts, Wasting My Time, Miley dan Heaven. 

Usai persembahan itu, penonton perlu menanti lebih satu jam sebelum konsert Maroon 5 bermula. Mungkin untuk memberi laluan kepada penonton menjamah makanan yang dijual di luar stadium serta menunaikan solat maghrib.

Tepat pukul 8.15, Maroon 5 muncul di atas pentas utama dengan membuka persembahan menerusi lagu hit, Animal sekali gus menggamatkan suasana dalam stadium. Kemudian, konsert diteruskan dengan lagu One More Night. 

Sewaktu menyampaikan lagu itu, hujan lebat mula membasahi bumi. Biarpun basah kuyup, peminat sedikit pun tidak berganjak malah semakin menggila berdansa dengan alunan lagu-lagu band tersohor itu. 

Tiada aksi buka baju

Pujian wajar diberikan kepada Maroon 5 apabila vokalisnya, Adam Levine mematuhi  garis panduan peraturan konsert di Malaysia dengan kekal berbaju sehingga tamat persembahan.

Meski hujan lebat dan basah lencun, Adam sekadar menyingsing lengan bajunya. 

Tidak seperti di Jakarta, Indonesia apabila dia membuka baju di atas pentas kerana terlalu panas.  

Ada juga penulis terdengar keluhan kecewa penonton yang berharap penyanyi kacak itu membuka bajunya. Tahniah diucapkan kepada Adam kerana menghormati syarat yang ditetapkan kerajaan Malaysia. 

Adam juga tidak banyak bercakap sepanjang konsert berlangsung. Dia hanya menyapa peminat di awal persembahan kemudian berterusan mengalunkan rangkaian lagu popular Maroon 5. Sesekali dia meminta penonton menyanyi bersamanya. 

Mungkin penat membuat persembahan selama tiga hari berturut-turut di Tokyo, Jepun masih belum hilang, bersambung pula di Kuala Lumpur.

Sebanyak 20 lagu popular dipersembahkan pada malam itu termasuk Sunday Morning, This Love, She Will Be Loved, Move Like Jagger, Stereo Hearts, Girls Like You, Payphone dan Makes Me Wonder. 

Asyik leka melayan lagu popular Maroon 5 sehingga tak sedar sudah sampai ke penghujung. Konsert pada malam itu selesai tepat pukul 9.45 malam menjadikan durasi keseluruhan persembahan hanya 1 jam 30 minit. 

Biarpun durasi konsert agak singkat, keseluruhannya sangat menghiburkan dan energetik.  Pendek kata, memang berbaloi dan puas hati. 

Paling penting, penonton dapat melihat band kesayangan mereka beraksi sekali lagi di negara ini sekali gus menghilangkan segala kerinduan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok