RUMAH tangga diganggu selebriti berimej muslimah sejak dua tahun lalu, seorang wanita memberi amaran akan mendedahkan identiti penyondol andai masih berdegil menghimpit suaminya.
Dakwa suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Y, artis berstatus ibu tunggal itu pada awalnya rapat dengan keluarga mereka selepas berurusan dalam perniagaan namun tanpa disangka menikamnya dari belakang.
“Kami berkenalan dengan selebriti itu apabila dia menjadi pelanggan bisnes kami seterusnya mula keluar masuk rumah kami apabila saya sudah menganggapnya sebagai famili.
“Awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa disebabkan penampilan suci selain sikap lemah lembut ditonjolkan, tetapi naluri isteri biasanya benar, ditambah bahasa tubuh antara kedua-dua mereka menunjukkan ada sesuatu cuba disembunyikan.
“Firasat saya betul apabila suami menyatakan hasrat ingin menjadikan artis terbabit sebagai isteri kedua, manakala wanita itu tanpa segan silu menghubungi saya maklumkan sedia bermadu dan meminta saya reda atas ketentuan Allah,” ketika ditemui HibGlam.
Menurutnya, hubungan dengan suami dingin selepas permintaan mereka tidak ditunaikan memandangkan dia memgetahui setakat mana kemampuan lelaki terbabit selain kecewa ditipu mereka
“Sandiwara apa yang cuba dimainkan? Apatah lagi sepanjang tempoh rapat dengan keluarga saya dia turut membawa anaknya bermain dengan anak kami,” ujarnya.
Katanya mengimbas detik ‘ditunjukkan’ kebenaran, hubungan mesra antara selebriti itu dengan suami dapat dihidu apabila dia membaca mesej mereka di media sosial.
“Saya dapat baca mesej mereka. Saya terkejut apabila wanita yang saya anggap sebagai keluarga, orang yang saya sangka baik dan berpenampilan suci memanggil suami saya dengan panggilan manja.
“Rupa-rupanya dia sudah lama mahu menghimpit suami saya dan mereka juga sudah menjalinkan hubungan istimewa hampir dua tahun.
Saya bersemuka dengannya namun dia pusing cerita. Dia menggunakan alasan agama dan mahu saya menerima dirinya sebagai madu. Saya sangat kesal kerana membenarkan penyondol masuk ke dalam rumah kami,” ujarnya.
Memburukkan lagi keadaan, selebriti itu masih tidak ‘sedar diri’ apabila terus mengganggu kehidupan dan mentalnya demi bergelar isteri kedua dengan menggunakan media sosial sebagai medan menyindir.
“Dia masih berusaha sampai sekarang, menghantar petikan hadis serta ayat-ayat Islamik berkenaan poligami, manakala suami terus bersikap dingin terhadap saya selepas pujukan agar kami berbincang bertiga tidak saya pedulikan.
“Tujuan saya tampil mendedahkan hal yang saya cuba simpan sendirian ini kerana mahu menyelamatkan rumah tangga kami. Saya tak rela bermadu selain ingin mengekalkan keharmonian perkahwinan,” katanya.
Mendakwa mempunyai bukti komunikasi mesra antara suami dan selebriti terbabit, Y mengakui menunggu waktu sesuai untuk mendedahkan sikap buruk individu dimaksudkan kepada khalayak.
Menerusi sumber lain, difahamkan wanita sama juga didakwa menghancurkan dua rumah tangga lain. – HIBGLAM