Rezeki Ramadan Aisha Retno

SELEPAS kejayaan Ketipak Ketipung yang bukan sahaja mendapat tempat di hati rakyat Malaysia malah menjadi siulan ramai di Indonesia, Aisha Retno sekali bakal muncul dengan lagu raya tahun ini.

Sekali lagi bakal bergandingan dengan Aziz Harun, pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu mengakui sambutan hebat terhadap Ketipak Ketipung sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya dalam penghasilan lagu baharu itu.

“Saya akan melancarkan lagu raya kedua bersama Aziz Harun tidak lama lagi.

Ramai bertanya tentang lagu raya, agak tertekan juga nak buat naskhah baharu seperti Ketipak Ketipung,” katanya.

Selain duet bersama Aziz, pelantun lagu Sutera itu turut berkongsi khabar gembira impian menulis lagu buat idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza tercapai tahun ini.

Menurut Aisha, secara peribadi ini merupakan antara pencapaian terbaik dirinya dan sangat bersyukur dengan rezeki tidak terjangka itu.

“Lagu yang sepatutnya saya nyanyikan, saya berikan kepada penyanyi nombor satu negara.

Ini memang pengalaman berharga, sebelum ini pernah tulis lagu untuk Dayang Nurfaizah dan kali ini kepada Siti Nurhaliza yang merupakan idola saya selama ini.

“Pihak beliau ada nampak kenyataan saya dalam Instagram, memang jadi impian saya untuk hasilkan lagu buat dia.

Saya hantar demo dan diterima. Alhamdulillah, rezeki dari Allah,” katanya dalam nada gembira.

Lebih bermakna, tahun ini juga wanita berusia 25 tahun itu bakal menghasilkan album yang memuatkan sembilan lagu bagi menambah koleksi karyanya.

Kini, saya dalam proses menyiapkan album. Selepas kontroversi yang berlaku sebelum ini, saya berazam untuk memperbanyakkan lagu.

“Semoga dipermudahkan, InsyaAllah ada sembilan lagu yang majoritinya saya tulis sendiri,” katanya.

Sementara itu, Aisha juga merupakan antara penyanyi yang bakal menghiburkan pengunjung kempen Lip Lap Raya KWC Fashion Wholesale pada 23 Mac depan.

Selain Aisha, acara yang berlangsung dari 1 hingga 30 Mac itu turut diserikan dengan kemunculan Ani Mayuni serta Iskandar Projector yang beraksi pada hujung minggu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok