Pelakon Roslan Saleh meninggal dunia

PELAKON Roslan Saleh meninggal dunia di kediamannya di Rantau Panjang, Melaka akibat komplikasi pelbagai penyakit pada pukul 7 pagi tadi.

Berita duka itu dikongsikan isterinya, Zainun Majid, 56, yang memaklumkan arwah kurang berbual seperti biasa sejak seminggu lalu disebabkan demam.

“Saya perasan suami tidak banyak bercakap beberapa hari lalu mungkin kerana kurang sihat tetapi dia panggil saya meminta minum air kelapa.

“Demamnya sudah pun sembuh, cuma saya sangka badan kurang sihat membuatkan suami lebih selesa berdiam diri.

“Malam tadi pun keadaaannya macam biasa, sampailah pagi tadi. Sebagai isteri saya reda. Allah lebih menyayangi suami saya,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, urusan mandi jenazah akan disempurnakan di Masjid Ar Rahman Rantau Panjang sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat.

Terdahulu, keadaan Roslan atau mesra disapa Pak Lan merosot selepas hilang penglihatan sejak empat tahun lalu akibat penyakit kencing manis kronik.

Bekas guru yang aktif dalam dunia lakonan bermula tahun 1995 itu difahamkan turut beberapa jenis penyakit termasuk tekanan darah rendah dan batuk kering mengakibatkan beliau terpaksa berhenti berlakon.

Disegani sebagai aktor versatil yang mampu menggalas pelbagai watak dengan berkesan, bakat Roslan, 69, sentiasa mendapat pujian penonton.

Selain muncul dalam puluhan drama, Allahyarham turut membintangi banyak filem termasuk Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Allahyarham turut meninggalkan tiga cahaya mata serta 10 cucu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok