SIAPA sangka dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM50, kini pengusaha fesyen gaya jalanan, Ashraf Anuar memiliki empayar fesyen bernilai RM5 juta menerusi jenama SVG.
Pada usia 18 tahun, dia mula menjual pakaian terpakai, menghabiskan masa berjam-jam memilih pakaian unik. Dengan RM50 di tangan, beliau mengambil risiko mencetak edisi pertama kemeja-T, yang habis terjual dalam beberapa hari.
Detik ini menjadi titik tolak kepada lahirnya jenama SVG Worldwide. Dengan usaha gigih dan strategi penjenamaan yang kukuh, jenama ini kini berkembang menjadi syarikat bernilai jutaan ringgit. Hari ini, SVG Worldwide bukan sahaja sebagai jenama yang berjaya secara komersial tetapi juga sebagai ikon budaya fesyen jalanan.
Falsafah rekabentuk Ashraf berpusat pada gabungan ‘Streetwear’ dan penceritaan. Setiap koleksi direka dengan teliti untuk menyampaikan naratif unik, menggabungkan elemen grafik yang rumit, ilusi tiga dimensi dan tekstur eksperimentasi.
Ketekunan dalam inovasi dan konsep mendalam ini telah menjadikan SVG Worldwide jenama yang mendapat perhatian, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
Tanggal 8 Februari menjadi detik bersejarah dalam industri fesyen Malaysia apabila SVG Worldwide melancarkan pertunjukan fesyen ‘solo’ pertama bertemakan Musim Bunga/Panas 2025 di The Yard, Sentu Depot.
Diberi judul The Journey, koleksi berkenaan menggambarkan evolusi artistiknya, melambangkan tahun-tahun penuh berkembang dan bereksperimentasi.
Lebih daripada sekadar pameran fesyen, acara ini menandakan peralihan jenama ke era baharu, menegaskan identiti serta kebebasan kreatifnya.
Walaupun Ashraf pernah menganjurkan pertunjukan fesyen sebelum ini, acara kali ini adalah yang terbesar dan paling ambisi.
Dengan 100 peragawan dan peragawati di pentas peragaan, pertunjukan mencatat rekod sebagai pertunjukan fesyen jalanan ‘solo’ terbesar di Malaysia.
Pelaburan sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan untuk produksi, pemasaran, dan reka bentuk, menjadikan pertunjukan ini satu pencapaian luar biasa dalam dunia fesyen tempatan.
Fesyen sebagai medium tamadun dan budaya
Selain ‘Aesthetic’, Ashraf Anuar melihat fesyen sebagai platform yang berkuasa untuk perbincangan budaya dan kesedaran sosial. Pertunjukan akan menampilkan persembahan istimewa oleh Faizal Tahir, sebagai penghormatan kepada Palestin, mencerminkan komitmen SVG Worldwide terhadap perjuangan melalui seni.
Penekanan terhadap mesej bermakna ini menunjukkan usaha Ashraf dalam menggabungkan fesyen dengan isu-isu global, menjadikan jenamanya lebih dari sekadar jenama.
Eksperimentasi ini terdahulu oleh beliau telah membuktikan pendekatannya yang berani dan inovatif.
Dari mempersembahkan koleksi di trek perlumbaan sepanjang 800 meter di Petronas Sepang International Circuit hingga mencipta format pertunjukan fesyen yang unggul, beliau terus mencabar norma industri. Gabungan budaya motorsport, estetika kontemporari, dan fesyen mewah menjadikannya salah seorang pemikir kreatif paling dinamik di Malaysia.
Masa depan
Melalui The Journey, Ashraf Anuar bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai pempengaruh dalam industri fesyen Malaysia, tetapi juga menetapkan penanda aras baharu bagi jenama fesyen Streetwear.
Dengan menganjurkan pertunjukan fesyen terbesar, menampilkan 100 peragawan dan peragawati dengan pelaburan RM3 juta, Ashraf membuktikan bahawa jenama tempatan mampu menyaingi kuasa besar fesyen antarabangsa.
Pencapaian ini dijangka memberi inspirasi kepada pereka lain untuk menganjurkan pertunjukan fesyen berskala mega, sekali gus mengangkat industri fesyen Malaysia ke peringkat antarabangsa.
SVG Worldwide bukan lagi sekadar jenama fesyen, bahkan satu gerakan yang didorong keaslian, inovasi, dan visi artistik yang tidak berkompromi.
Dengan menggabungkan ‘streetwear’ dan fesyen tertinggi, mencabar batas kreativiti melalui persembahan runway yang tidak konvensional, serta mengekalkan naratif sosial dan budaya yang kuat, SVG Worldwide muncul sebagai kuasa perintis dalam industri ini.
Ketika dunia fesyen menantikan perkembangan seterusnya, satu perkara pasti, itu permulaan kepada transformasi global fesyen ‘streetwear’ Ashraf Anuar. – HIBGLAM