LUMRAH bergelar insan popular, apa sahaja perkembangan peribadi mudah menarik perhatian khalayak.
Kisah dalam kain mereka selalu mengusik naluri ingin tahu masyarakat. Semakin bersinar bintangnya di langit seni, semakin menggoda urusan hati mereka mahu diselami.
Menyaksikan apa sahaja perkembangan diri mahupun insan rapat di sisi dimanipulasi menjadi sensasi, dramatis tampan Hisyam Hamid seboleh-bolehnya mahu menjaga diri daripada membuka pekung sendiri.
Pun begitu, hakikat dirinya kini berstatus ‘duda’ selepas rumah tangga bersama Rosmawati Hanafi terlerai selepas hampir 20 tahun dibina, namanya memanas dikaitkan dengan pelbagai spekulasi, kononnya juga sedang menjadi buruan ramai jelitawan.
Menyedari spekulasi bertebaran, pemilik nama penuh Hazmi Hisyam Abd. Hamid itu segera menepis segala dakwaan.
Dia bertegas tiada sesiapa yang intim di jiwa malah dilarang anak-anak daripada berkahwin lagi.
“Tiada yang mendekati mahupun didekati sesiapa, buat masa ini saya sangat selesa dengan kehidupan sekarang. Anak-anak pun cakap mereka tak nak mama baru. Jadi, saya rasa saya gembira dengan keadaan sekarang.
“Saya berada dalam fasa yang lebih selesa dan tenang berbanding tahun-tahun terdahulu. Pendek kata, saya okey sahaja dengan kehidupan sekarang ni.
“Kalau ada (jodoh), maka ada lah. Kalau tiada pun semuanya berbalik kepada ketentuan Tuhan,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon Andai Tiada Dia itu, dia bukan dalam fasa terdesak, namun tidak menolak kemungkinan untuk berkahwin lagi sekiranya ada jodoh.
“Memang jauh sekali daripada terdesak. Saya sibuk dengan kerja. Anak-anak pun gembira tengok saya macam ni. Mereka selalu bercakap dengan saya, terutama anak lelaki, dia pun kata dia seronok tengok saya begini,
“Nenek mereka pun cakap kat anak saya ‘tak baik macam itu, ayah masih muda kan?’. Tapi anak-anak kata, ‘no’. Mereka tidak mahu saya berkahwin lagi buat masa sekarang tetapi esok lusa siapa tahu?.
“Apa pun, kalau saya berkahwin lagi, anak kena setuju. Perasaan mereka keutamaan saya. Bukan sekarang sahaja, sejak ada mereka, apa-apa keputusan dibuat pasti mengutamakan mereka,” luahnya jujur.

HISYAM berkata dirinya memang rapat dengan penerbit itu namun bukanlah seperti disangka ramai. – Foto SYAKIR RADIN
Enggan meleret, penulis sempat bertanya duda anak dua itu tentang dakwaan kononnya sedang rapat dengan seorang penerbit wanita.
Tersenyum, aktor berusia 39 tahun itu segera bertegaskan, wanita dimaksudkan hanyalah teman rapat malah sudah lama saling mengenali.
“Macam-macam cerita saya dengar. Saya faham sebab benda itu datang secara semula jadi dengan status duda. Jadi, kalau ada dakwaan bercinta dengan penerbit itu, saya boleh katakan memang cerita itu tak pernah wujud, tak benar.
“Saya pelik bagaimana kisah itu boleh timbul. Sebab tak pernah pun kami keluar berdua. Kami rapat, tapi bukan seperti yang disangka. Itu semua tidak benar.
“Saya rasa penerbit yang dimaksudkan itu seseorang yang saya dah biasa bekerjasama. Kami pernah buat projek panjang dahulu. Memang rapat malah bekas isteri pun rapat dengannya,” jelas Hisyam.
Berkongsi perkembangan terkini, lelaki asal Singapura itu sedang sibuk mempromosikan telefilem terbaharu dibintangi berjudul Alibi yang bakal ditayangkan menerusi platform Unifi TV pada 6 April nanti.
Selain Hisyam, naskhah arahan Feroz Kader turut dibintangi pelakon hebat seperti Nabila Huda, Zahiril Adzim, Nadia Aqilah, Mhia Firdaus dan Firdaus Ghufran.