MIRA Filzah, sepotong nama yang sudah cukup kukuh dalam persada seni tanah air. Kehadirannya dalam industri seni sejak lebih sedekad lalu semuanya berlaku secara tanpa dirancang.
Siapa sangka, daripada kebetulan dan tidak sengaja mencuba-cuba, kerjaya seninya meledak sehingga meletakkan namanya di puncak dan menjadi idola barisan pelakon generasi muda.
Tidak berlebihan sekiranya melabel dirinya sebagai antara dramatis papan atas impak keberhasilan menghidupkan setiap watak lakonan dengan cemerlang dan meninggalkan impak dalam kotak memori penonton.
Masih Malaysia’s Sweetheart di hati ramai, populariti pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman kembali meroket apabila dua drama lakonannya iaitu Gadis Masa terbitan Viu Original dan Curang Tanpa Niat (Astro) mencetuskan fenomena luar biasa.
Menghiasi sampul muka depan HibGlam minggu ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu bersyukur apabila dua naskhah tersebut berjaya mendapat tempat dalam hati pencinta drama tempatan.
Dilabel sebagai wajah ‘pelaris’, pelakon berusia 32 itu berkata, gelaran tersebut tidak mungkin wujud tanpa kerja keras yang ditumpahkan dalam setiap naskhah.
“Bila ada cakap saya wajah pelaris drama, sebenarnya hal itu datang daripada pelbagai faktor termasuk jalan cerita dan pelakon.
“Untuk gelaran wajah pelaris, saya terima pujian itu tetapi semuanya hadir dengan usaha keras seperti masuk kelas lakonan.
“Bila di set, disiplin perlu dijaga dan sentiasa belajar untuk perbaiki diri. Kalau orang suka bekerja dengan kita, perkara-perkara lain juga akan turut mudah dan menggembirakan.
“Lagi satu, isu pelaris ini juga bergantung kepada usaha seseorang pelakon mempromosikan setiap drama lakonan mereka.
“Untuk saya, memang tidak kisah untuk melakukannya sebanyak mungkin sebab itu produk saya, kalau bukan kita yang lakukan, siapa lagi nak buat?” katanya kepada HibGlam.

BINTANG filem Sangkar ini pernah memasang impian untuk menjadi seorang pendidik sebelum bergelar pelakon. | Solekan WARNABILLA
Selain wajah ‘pelaris’, Mira mengakui sedikit tertekan apabila diletakkan dalam kelompok pelakon gred A.
“Saya ambil semua itu sebagai pujian dan doa. Tidaklah terlalu tertekan dilabel tetapi lebih kepada motivasi untuk memberi persembahan lebih baik pada masa akan datang.
“Daripada sibuk tertekan dengan gelaran, lebih baik tunjukkan kemampuan dan usaha beri hasil kerja cemerlang.
“Jadi, apabila sudah beri hasil kerja yang bagus, orang pun akan rasa berbaloi dan tidak menyesal label seseorang pelakon sebegitu,” ujarnya.
Limitasi watak
Tidak cerewet sebaliknya Mira mendedahkan kebanyakan watak yang sering ditawarkannya hampir sama seperti wanita ‘air mata’, teraniaya, dicurangi dan ditindas.
Akui Mira, imej bertudung antara faktor kerap ditawarkan watak berulang.
“Kalau bercakap tentang watak, Malaysia ada limitasi karakter untuk golongan bertudung.
“Dalam realiti memang wujud penyondol dalam kalangan wanita bertudung tetapi bila nak bawa dalam drama, penonton tak suka dan marah.
“Saya sedar diri dan ruang, saya bertudung dan watak juga terhad. Jadi, apa sahaja yang ditawarkan, saya akan lakukan terbaik sebab tidak banyak pilihan,” katanya lagi.
Dipuji semakin matang melontarkan emosi dalam lakonan, dia mengakui kelas lakonan bersama aktres Ellie Suriaty banyak membantunya menggali jiwa bagi memberi hasil terbaik.
“Saya sedar dengan semua pujian untuk drama Curang Tanpa Niat dan Gadis Masa termasuk kata semakin matang.
“Pelakon gandingan juga sangat penting. Dalam Curang Tanpa Niat saya bekerja dengan Shukri Yahaya, memang makanan dia watak sebegitu.
“Kemudian untuk Gadis Masa, saya digandingkan dengan Syafiq Kyle.
“Semuanya bagus-bagus, jadi kita pun akan sama bersemangat untuk beri yang terbaik,” ujarnya.
Pencabar Gadis Masa
Terlalu kerap wajahnya disamakan dengan Tracie Sinidol yang turut berlakon dalam Gadis Masa, Mira tidak pernah melihat kehadiran pelakon itu sebagai pencabarnya.
Katanya, setiap rezeki sudah tertulis oleh Tuhan dan tidak perlu ada perasaan negatif.
“Sejujurnya saya suka. Bagi saya, ada wajah yang mirip adalah satu kelebihan dan perlu bijak ambil kesempatan untuk benda baik-baik.

MIRA menapis dan mengawal setiap perkongsian dalam media sosial bagi mengelakkan kehadiran anasir negatif termasuk penyakit ain dalam hidupnya | Foto AMIR KHALID
“Ini adalah rezeki untuk saya dan dia. Tidak wujud persaingan sebab masing-masing ada kelebihan tersendiri.
“Watak kami pun tak ‘berlanggar’. Saya sekarang lebih kepada watak isteri dan ibu tetapi Tracie masil boleh membawa karakter remaja dan pelajar sekolah,” tuturnya.
Berbicara tentang drama Gadis Masa arahan Yussuf Yunus, Mira bersyukur berpeluang berada dalam drama yang menyerlahkan sisi berbezanya sebagai pelakon.
“Syukur dan suka, itu sahaja dapat diungkapkan sepanjang melihat penerimaan ramai terhadap karya lakonan saya baru-baru ini.
“Dalam Gadis Masa, watak saya sebagai Maya sangat menyeronokkan walaupun memerlukan saya bertukar-tukar emosi.
“Naskhah ini tidaklah terlalu berat tetapi impaknya memang luar biasa. Ini juga gandingan pertama saya dengan Tracie, dia pelakon baharu yang bagus,” tutupnya.