Enggan lagi terjebak kontroversi murahan, pelakon Atiq Azman mengakui dirinya kini dalam fasa melangkah ke alam perkahwinan sekali gus ingin berubah menjadi insan lebih baik.
Ujar Atiq atau nama penuhnya Raja Mohammad Atiqullah Syah Raja Azman Syah, 25, perubahan tersebut datang daripada kesedaran sendiri selain nasihat orang sekeliling yang mengingatkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Saya memang mahu elak kontroversi. Saya kini dalam fasa bersedia untuk menjadi seorang suami, tanggungjawab itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Keputusan ini memang datang daripada diri sendiri. Orang sekeliling juga ada menasihati, lebih-lebih lagi bila dah nak kahwin. Kita perlu berubah jadi lebih baik,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon drama Hawt Fellas itu, sebagai aktor, dia sedar cabaran dalam dunia seni memerlukan dirinya lebih berhati-hati agar hubungan peribadi tidak terganggu.
“Nak tak nak, semuanya bergantung pada diri sendiri. Kalau tersalah pilih jalan atau membuka ruang, kita juga yang akan menanggung akibatnya.
“Saya tahu cabaran sebagai anak seni. Jadi, saya perlu jaga diri supaya tak timbul masalah dalam hubungan. Dalam industri ini, jangan main-main,” ujarnya.
Sedar gerak kerja industri hiburan, Atiq dalam masa sama berharap bakal isterinya, pempengaruh media sosial, Alia Natasha dapat memahami kerjayanya sebagai pelakon.
“Saya tak halang jika dia ingin menceburi bidang seni. Malah, saya sokong kerana saya juga dalam industri yang sama. Saya cuma mahu kami sama-sama menjaga batas dan saling memahami,” jelasnya.
Terdahulu, nama Atiq pernah menjadi perhatian selepas berdepan tuduhan tidak berasas kononnya dia merupakan homoseksual gara-gara video senaman di gimnasium.
Lebih teruk, dia sekali lagi terpalit kontroversi apabila memuat naik foto tanpa baju yang menampilkan tubuh berotot dalam media sosial.
Atiq bagaimanapun menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran untuk menjadi lebih matang dan fokus kepada perkahwinan yang bakal berlangsung. – HIBGLAM