TANPA kelibat suaminya Beego, pelakon Linda Hashim hari ini kelihatan tenang hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk sebutan pertama kes perceraian mereka.
Kata Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, peguam yang mewakilinya, Nurul Fadzilah Kamaluddin sudah pun menyerahkan notis kehadiran ke mahkamah kepada aktor tersebut, bulan lalu.
“Hari ini merupakan hari sebutan pertama mahkamah selepas kami memfailkan permohonan perceraian pada awal Januari tahun ini.
“Sudah tentu dia maklum perlu datang mengikuti proses sebutan pada hari ini kerana pihak saya sudah menghantar notis mahkamah,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah pukul 9.20 pagi tadi.
Mengenakan jubah hitam bertudung cerah, ibu kepada tiga cahaya mata itu tampak tenang namun tergesa-gesa menuju pejabat mahkamah sebelum masuk ke kamar bicara.
Ditanya mengenai keberadaan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, yang dipercayai di luar kawasan, katanya dia tidak tahu-menahu hal lelaki terbabit.
“Saya tak tahu keberadaannya,” ujarnya yang sebelum ini turut mengakui sudah tidak sebumbung.
Difahamkan, Beego kini berada di Labuan. Menerusi satu hantaran dalam Instagram, pelakon berusia 45 tahun itu mendakwa tidak tahu menahu notis mahkamah dan mencari peguam yang mampu mewakili dirinya.
“Terkejut pagi ini mendengar kenyataan isteri yang saya dimaklumkan ada di mahkamah. Tidak ada pemberitahuan atau notis daripada pihak guaman Nurul. Ada mana-mana peguam yang boleh mewakili saya. Allahuakbar,” tulisnya dalam Instagram.
Linda memfailkan permohonan cerai buat kali ketiga terhadap suaminya atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023 pasangan terbabit hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Aktres itu turut mendedahkan dia dan Beego pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan mereka kembali rujuk iaitu pada April 2023.
Namun dia mengakui tidak mendedahkan perceraian kedua kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan perkahwinan.
Terdahulu, mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – HIBGLAM