Lancar baca surah Al-A’laa, Zahiril Adzim dilambung pujian

Bukan sahaja hebat di arena seni, pelakon Zahiril Adzim terus dilambung pujian apabila mampu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran daripada Surah Al-A’laa dengan lancar.

Menerusi video dimuat naik dalam TikTok, pempengaruh terkenal dengan cabaran membaca al-Quran, Qawiy, meminta aktor itu menyambung bacaan surah berkenaan.

Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, 41, bukan sahaja menyambung bacaan dengan baik, malah turut berkongsi maksud ayat tersebut.

“Masa solat saya selalu baca, ini surah kegemaran saya. Surah ini mengingatkan kita bahawa dunia ini tidak kekal,” katanya.

Tambah pelakon drama Andai Tiada Dia itu, surah berkenaan amat bermakna buat dirinya kerana menjadi peringatan tentang hakikat kehidupan yang sementara.

“Saya suka surah ini sebab selalu ingatkan saya. Apa yang saya tahu, kalau kita suka satu surah, Allah pasti akan bagi sebab kenapa kita suka surah tersebut. Allah nak beri peringatan.

“Jadi saya selalu ingatkan diri bahawa dunia ini sementara, yang kekal hanya akhirat,” ujarnya.

Rata-rata netizen memuji dan kagum dengan kefasihan Zahiril membaca Al-Quran serta kegigihannya memahami maksud surah tersebut.

“Masya-Allah, bacaannya merdu dan lancar. Sudahlah hebat berlakon, pandai baca Quran lagi,” komen seorang netizen.

“Bukan sahaja pelakon berbakat, tetapi juga berilmu dan rendah hati,” tulis seorang pengguna TikTok.

Ramai turut berpendapat Zahiril bukan sahaja cemerlang dalam dunia lakonan, tetapi juga memiliki pegangan agama yang baik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok