PENYANYI terkenal Bollywood, Udit Narayan dikecam hebat oleh netizen selepas aksinya mencium peminat wanita di bahagian bibir tular dalam media sosial.
Dalam video tersebut, maestro muzik berusia 70 tahun itu dilihat mencium bibir beberapa peminat wanita sewaktu dikerumuni untuk berswafoto usai sebuah persembahan.
Aksi penyanyi yang terkenal sebagai penyanyi latar filem-filem Bollywood itu telah mengejutkan ramai terutamanya para peminatnya.
Malah ada yang beranggapan video tersebut adalah palsu dan menggunakan teknologi Artificial Intelligance (AI).
“Tolong beritahu saya ini adalah video suntingan AI. Ini adalah satu mimpi ngeri. Kenapa penyanyi bertaraf legenda sepertinya berkelakuan jijik seperti ini,” komen netizen.
Apa yang lebih mengejutkan ramai, Udit turut mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakannya dan menganggap perkara tersebut adalah biasa bagi artis dan peminat.
“Apa yang salah tentang perkara tersebut? Itu adalah perkara biasa yang selalu terjadi di antara artis dan peminat. Peminat teruja melihat artis kegemaran mereka di depan mata. Saya rasa perkara ini tidak patut diberi perhatian yang lebih,” katanya kepada Hindustan Times.
Terdahulu, pelantun lagu Kuch Kuch Hota Hai itu telah mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 28 Disember lalu. – HIBGLAM.