‘Ikut hukum, saya patut keluar rumah tapi saya nak dia tenang’

“SETIAP pasangan lakukan kesilapan. Saya bukan malaikat, isteri bukan bidadari.”

Demikian respons pelakon Beego mengenai kenyataan isterinya, Linda Hashim berhubung spekulasi pihak luar kononnya dia mengasari wanita terbabit sehingga mendorongnya memfailkan perceraian.

Menurut Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 44, dia lebih selesa tidak mengulas lanjut namun mengakui sudah meminta maaf atas segala kesilapannya.

Pada masa sama, bekas anggota Phyne Ballerz itu juga mengakui sudah berulang kali memujuk isterinya itu agar membatalkan hasrat untuk bercerai.

“Saya sangat mencintainya dan mahu mempertahankan perkahwinan ini kerana anak-anak  masih kecil dan perlukan perhatian kedua ibu bapa.

“Pastinya ada sinar untuk kami,” ujarnya yang berharap ikatan mereka kembali erat.

Mengenai kenyataan Linda yang meminta media bertanya sendiri mengenai desas-desus keganasan domestik seperti disebarkan segelintir pihak, Beego menganggap perkataan disebut merupakan respons spontan orang yang sedang marah.

Tambahnya lagi, dia tahu hajat isterinya mahu berpisah, namun tidak menyangka tarikh sebutan pertama berlangsung pada hari ini kerana tidak mendapat sebarang notis.

Saya hanya memberi ruang untuk dia mencari ketenangan tetapi tidak menyangka dia akan ke mahkamah dan melanjutkan proses perceraian.

“Kalau ikutkan hukum, saya yang sepatutnya keluar rumah. Tetapi saya sendiri yang membenarkan dia keluar bersama anak-anak demi mendapatkan ketenangan,” jelasnya.

Beego turut mengakui kesibukkan bekerja membuatkan dirinya tidak dapat memberikan perhatian penuh terhadap isteri dan anak-anaknya.

Bahkan dia turut menafikan masalah kewangan antara punca rumah tangganya retak memandangkan dia masih mempunyai pekerjaan lain selain karier lakonan.

“Pendapatan saya stabil, tetapi tidaklah begitu mewah. Mungkin kesibukan kerja membuatkan Linda terasa kurang mendapat perhatian,” ujarnya.

Hari ini, selepas prosiding sebutan pertama perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Linda meminta soalan mengenai keganasan domestik mahupun kewujudan orang ketiga diajukan kepada Beego sendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok