‘Buat lagu biaya kos urus jenazah orang kampung’

SELEPAS mencipta nama sebagai pelawak, kumpulan Zero yang dianggotai Atu, Syaiful dan Sharif mencuba nasib dalam bidang nyanyian apabila melancarkan single pertama berjudul Tondu.

Menurut Atu, idea menghasilkan lagu tersebut selepas Syaiful dan Sharif dijulang sebagai juara program Famili Duo musim ketiga dua tahun lalu.

“Sayanglah tiada lagu sendiri kerana mereka berbakat sebagai menyanyi. Sebelum ini, asyik menyanyi lagu orang sahaja.

“Dua abang saya yang banyak menyumbangkan vokal dalam single itu. Saya pula fokus pada bahagian rap.

“Single ini boleh dimainkan ketika keramaian di Sabah dan Sarawak. Iramanya mudah buat orang teruja nak menari,” katanya kepada HibGlam.

Atu sanggup berhabis RM20,000 untuk Tondu yang liriknya menceritakan seorang lelaki bangkit daripada kekecewaan apabila ditinggalkan kekasih.


Kongsi pemilik nama sebenar Sharif Kunal Doli Sharif itu lagi, penghasilan lagu tersebut bukan bertujuan bersaing dengan penyanyi lain sebaliknya mahu mencari dana untuk khidmat pengurusan jenazah secara percuma yang diusahakan keluarga di Kudat, Sabah.

“Zero rakam lagu bukan kerana hendak bersaing atau bertanding tetapi untuk cari ‘show’ bagi membiayai khidmat pengurusan jenazah yang kami usahakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), komitmen keluarga dan sebagainya. Jadi, apabila ada tawaran persembahan, baru ada pendapatan.

“Selama ini, hasil daripada ‘show’ dan tawaran kerja lain, saya asingkan sebahagiannya untuk kos pengurusan jenazah. Alhamdulillah, sampai sekarang khidmat tersebut diteruskan.

“Jika tiada lagu, kami kurang dapat ‘show’. Kami tidak boleh berharap tawaran berlakon drama atau filem semata-mata. Jadi, kami cuba rakam lagu untuk mempelbagaikan lagi punca pendapatan,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, pelawak berusia 33 tahun itu menegaskan tidak memikirkan soal keuntungan kerana fokusnya adalah membantu golongan kurang bernasib baik.

“Saya tidak ambil apa-apa keuntungan. Khidmat itu adalah salah satu sumbangan saya.

“Sebelum ini, saya pernah berhadapan keadaan di mana saya tidak mampu menguruskan jenazah,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok