JENAZAH anak bongsu pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak terkenal, Zaquan Adha Abdul Radzak selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha yang berusia enam bulan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan.
Semalam, Zaquan berkongsi berita duka dalam Instagramnya selain memohon orang ramai mendoakan dia dan isteri kuat menghadapi kehilangan tersebut.
Bagaimanapun, atlet berusia 37 tahun itu tidak mendedahkan punca sebenar kematian putera bongsunya.
Terdahulu, Muhammad Aisy selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu.
Ayu dan Zaquan berkahwin pada 21 Januari 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka turut dikurniakan enam cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann,11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia setahun. – HIBGLAM