BERJAYA menjulang trofi Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) memerusi lagu Hening Rindu membuatkan penyanyi Marsha Milan terkenang insan tersayang yang sudah tiada.
Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 39, turut teringat fasa jatuh bangun membina nama sepanjang dua dekad dalam industri seni.
“Lagu Hening Rindu buat saya teringat tentang insan tersayang yang sudah pergi dalam hidup saya.
“Pada masa sama, saya melihat situasi sekarang dan jadi satu kesukaran kerana saya benar-benar menjiwai lagu itu.
“Alhamdulillah, keluarga, label, rakan dan pihak pengurusan banyak menyokong saya. Jadi, memang trofi ini sangat bermakna selepas 20 tahun mencari nama dan bergelut dalam industri ini,” katanya dalam nada sebak.
Ditanya mengenai harapan untuk bergelar juara, anak jati Sabah itu mengakui ada terbayang detik indah sekiranya berjaya menjulang trofi AJL39.
“Terus-terang saya tak letak langsung sebarang harapan.
“Namun jauh di sudut hati terbayang alangkah seronoknya jika dapat gelaran juara,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, Marsha yang bimbang dengan persiapan anugerah berprestij berkenaan hanya fokus dengan penjiwaan lagu ciptaan Ikhwan Fatanna.
“Sebenarnya, agak risau sebab persiapan saya untuk AJL39 tidak sama macam yang sebelum ini. Apabila saya dah berada dalam zon itu pula, saya terlalu menjiwai lagu.
“Boleh dikatakan ada banyak pengalaman hidup saya ada kaitan dengan lagu ini.
“Jadi alhamdulillah, ini rezeki dari Allah dan terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu persiapan saya kali ini,” jelasnya.
Semalam, lagu Hening Rindu diumumkan sebagai Juara AJL 39, sekali gus melayakkan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 bersama trofi utama.
Usai diumumkan sebagai pemenang, Marsha gagal menahan sebak sehingga tidak dapat berkata apa-apa melainkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakangnya.
Sebelum ini, Marsha pernah dijulang sebagai naib juara selain memenangi Anugerah Persembahan Terbaik pada AJL 36 menerusi lagu Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim. – HIBGLAM