Bintang Korea terpaksa ‘rebranding’ demi terus hidup

BARU-BARU ini, kumpulan NewJeans sepakat mahu dikenali sebagai NJZ selepas terpalit kontroversi dengan pihak pengurusan lama iaitu ADOR. 

Membuka lembaran baharu, NJZ kini bernaung di bawah agensi ComplexCon. 

Malah, mereka juga dikatakan rancak melakukan persiapan merakamkan lagu baharu. 

Perkara sebegini bukan pertama kali berlaku dalam industri hiburan Korea Selatan. Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan beberapa kumpulan yang kini dikenali dengan nama baharu demi memastikan karier mereka terus berkembang.

  • DKZ

KUMPULAN lelaki di bawah naungan Dongyo Entertainment, DKZ terdiri daripada enam ahli. 

Mereka memulakan debut pada 2019 dengan menggunakan nama Dongkiz. 

Sama seperti Dreamcatcher, mereka bermula denga lima anggota. 

Selepas Wondae memutuskan untuk berundur dan Munik juga hiatus akibat masalah kesihatan, agensi Dongkiz menjenamakan semula kumpulan ini dengan nama DKZ. 

Pada Mac 2022, mereka mengumumkan penambahan tiga anggota baharu dan melancarkan album keenam berjudul Chase Episode 2. 

  • Blackswan

MEMULAKAN debut dengan nama Rania, kumpulan wanita di bawah naungan DR Entertainment direformasi sebagai BP Rania pada 2016. 

Tidak lama kemudian, mereka kembali menggunakan nama asal pada 2018. 

Sekitar Oktober 2020, mereka diperkenalkan sebagai Blackswan dan menerbitkan album sulung, Goodbye Rania. 

Blackswan dianggotai Fatou, Leia, Gabi dan Sriya. 

  • To1

BERNAUNG di bawah agensi Wake One, kumpulan To1 terdiri daripada sembilan ahli. 

To1 dahulunya dikenali sebagai Too dibentuk melalui rancangan realiti To Be World Klass pada 2019. 

Kemudian, mereka memulakan kerjaya pada 1 April 2020 dengan sepuluh ahli. 

Selepas setahun, mereka menukar nama kepada To1 dan membuat debut semula. 

Bagaimanapun, pada 2022, seramai  empat anggota To1 meninggalkan kumpulan itu dan tiga ahli baharu diserap masuk. 

  • Highlight 

HIGHLIGHT merupakan kumpulan lelaki K-Pop yang bernaung di bawah agensi Around Us Entertainment. 

Highlight sebelum ini dikenali sebagai Beast (B2ST) dan memulakan debut pada 2009 di bawah CUBE Entertainment. 

Pada awalnya, mereka mempunyai enam anggota tetapi Jang Hyun-seung meninggalkan kumpulan tersebut pada 2016. 

Selepas kontrak bersama CUBE tamat, kumpulan itu tidak boleh lagi bergerak sebagai Beast dan membuat penjenamaan semula dengan menggunakan nama Highlight.

  • Dreamcatcher 

DIANGGOTAI tujuh wanita cantik, kumpulan Dreamcatcher sebelum ini dikenali dengan nama Minx. 

Pada awalnya, mereka hanya mempunyai lima anggota sahaja sepanjang 2014 sehingga 2016. 

Namun, ketika membuat kemunculan semula menerusi album Nightmare pada  13 Januari 2017, mereka memperkenalkan dua anggota baharu.  

Dreamcatcher kemudian menunjukkan pencapaian luar biasa sehingga dilabel sebagai ‘Kumpulan rock K-Pop’. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok