Kuasai lebih 1 bahasa, ‘senjata’ takluk dunia

INDUSTRI hiburan Korea bukan sekadar medan bakat nyanyian dan lakonan, tetapi turut menjadi gelanggang bagi bintang yang memiliki kebolehan luar biasa.

Antara kelebihan paling mengagumkan ialah keupayaan menguasai pelbagai bahasa yang membolehkan idola K-Pop berinteraksi dengan peminat mereka dari seluruh dunia.

Dengan pengaruh ‘Hallyu’ yang semakin meluas, kebolehan bertutur lebih daripada satu bahasa memberi kelebihan kepada selebriti untuk menembusi pasaran global.

Ada yang belajar sejak kecil, ada juga tekad menambah ilmu demi karier dan hasilnya, mereka bukan sekadar artis tetapi juga ikon antarabangsa.

Kimchi Panas minggu ini membawakan lima selebriti Korea yang membuktikan bahawa kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa bukan sekadar satu kelebihan tetapi aset bernilai dalam dunia hiburan.

Henry Lau

Penyanyi, pelakon dan pemuzik berbakat besar ini bukan sahaja terkenal kerana kehebatan bermain biola serta piano, tetapi juga kebolehannya bertutur dalam lima bahasa iaitu Korea, Inggeris, Mandarin, Kantonis dan Perancis.

Henry yang berdarah kacukan Cina-Kanada membesar di Toronto, menjadikannya fasih berbahasa Inggeris dan Perancis sejak kecil.

Setelah menyertai SM Entertainment dan debut bersama Super Junior-M, idola berusia 36 tahun itu mula menguasai bahasa Korea dan Mandarin dengan pantas.

Kebolehan itu menjadikan Henry antara selebriti Korea paling versatil seterusnya menembusi pasaran global dengan lebih mudah.

Hani

Anggota kumpulan EXID, Hani yang dikenali dengan aura ceria dan personaliti bersahaja juga pelajar cemerlang dengan kebolehan bertutur dalam bahasa Korea, Inggeris serta Mandarin.

Sejak kecil, idola berusia 32 tahun itu dihantar ke China untuk belajar, membolehkannya menguasai bahasa Mandarin dengan baik.

Bukan itu sahaja, dia turut memperoleh markah tinggi dalam TOEIC (ujian kemahiran bahasa Inggeris) dengan skor 900 daripada 990.

Dalam satu temu bual, Hani berkongsi minat mendalam terhadap bahasa mendorongnya untuk terus belajar.

Dengan kemahiran linguistik, wanita jelita itu membuktikan bahawa kecantikan dan kepintaran boleh bergerak seiring dalam industri hiburan.

RM

Fasih berbahasa Jepun membantu RM mempromosikan BTS di negara matahari terbit itu sekali gus membuktikan keupayaannya dalam memahami budaya luar.

Dengan kebolehan komunikasi luar biasa, RM sering menjadi wakil BTS dalam acara antarabangsa, termasuk ketika menyampaikan ucapan bersejarah di PBB.

Sebagai ketua BTS, RM bukan sahaja bertanggungjawab membawa kumpulan itu ke puncak kejayaan tetapi juga memainkan peranan sebagai jurucakap utama dalam setiap acara antarabangsa.

Uniknya, lelaki berusia 31 tahun itu belajar bahasa Inggeris bukan di kelas khas atau sekolah berprestij tetapi hanya dengan menonton siri Friends berulang kali.

Selain bahasa Korea, Jepun dan Inggeris, idola tinggi lampai itu juga memahami asas Mandarin.

Kebolehan itu menjadikannya bintang K-Pop yang disegani kerana bukan sekadar berbakat dalam muzik tetapi juga mempunyai daya intelektual tinggi.

Kejayaan BTS menembusi pasaran global sebahagiannya disandarkan kepada kemampuan RM berinteraksi secara terus dengan peminat antarabangsa.

Lisa

Anggota kumpulan Blackpink, Lisa Manoban bukan sahaja dikenali sebagai penari lincah dan penyanyi rap berbisa tetapi juga poliglot hebat.

Dilahirkan di Thailand, idola berusia 28 tahun itu fasih bertutur dalam bahasa Thai, Korea, Inggeris, Jepun, dan asas Mandarin.

Sejak menyertai YG Entertainment pada usia 14 tahun, pelantun lagu Rockstar itu berusaha menguasai bahasa Korea dengan pantas demi menyesuaikan diri dalam industri.

Hasil kerja kerasnya membolehkan dia berkomunikasi dengan lancar, sekali gus memenangi hati peminat tempatan.

Keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa menjadikan Lisa bintang serba boleh dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ikon global. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok