PELAKON Jay Iswazir dan bekas isteri, Fatimah Azzahra Ahmad akhirnya sepakat memilih jalan damai sekali gus menamatkan segala sengketa antara mereka selepas bercerai pada November tahun lalu.
Jay, 43, berkata, keputusan tersebut merupakan jalan terbaik dan enggan kemelut yang berlaku berlarutan selain mengelak terus menjadi bahan bualan ramai dalam media sosial.
“Apa yang saya boleh katakan, kami setuju untuk berdamai. Sepatutnya perkara yang berlaku sebelum ini adalah terlalu peribadi dan tak perlu dihebahkan kepada umum.
“Saya berjaya ambil langkah untuk kami berdua mengenang balik apa yang berlaku sebelum ini dan ini adalah yang terbaik untuk kami.
“Hebahan itu tak dibuat bukan sebab berniat nak memenangkan mana-mana pihak. Kami berharap mereka di luar sana mendoakan yang terbaik sebab saya percaya semua orang lakukan kesalahan,” katanya kepada Kosmo! Online selepas malam gala filem Dajal di sini, semalam.
Tambah Jay, semua yang berlaku sebelum ini termasuk kemelut dengan Azzahra banyak mengajarnya untuk menjadi individu lebih baik.
“Terpulang bagaimana kami melihat kembali kesalahan itu sama ada menyedarkan atau membalas semula.
“Selepas berdamai, saya rasa lebih tenang sebab kalau meminta maaf dan saling memaafkan, saya dapat ketenangan itu. Kami juga saling mendoakan dan sangat lega,” ujarnya.
Terdahulu, walaupun memilih untuk berdamai Jay berkeras mahu Azzahra Ahmad membuat permohonan maaf secara terbuka.
Pihaknya bagaimanapun tidak tergesa-gesa untuk mengambil tindakan terhadap bekas isterinya walaupun notis tuntutan atau Letter of Demand (LOD) permohonan maaf telah dikeluarkan pada 19 Disember tahun lalu.
Sebelum itu, Jay memberi tempoh lanjutan selama 10 hari kepada bekas isterinya bagi membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam media sosial miliknya.
Menerusi satu kenyataan peguam mewakili Jay, pihaknya terdahulu menerima surat penangguhan daripada Azzahra yang memohon tempoh lanjutan selama 14 hari selepas Jay mengeluarkan LOD.
Dalam notis berkenaan, Jay menuntut bekas isterinya membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari bermula dari tarikh notis tuntutan dikeluarkan.
Azzahra dan Jay berkahwin pada Mac 2022, namun bercerai pada 28 Oktober tahun lalu. Pasangan itu bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM