‘Trofi tidak boleh makan, bagi saya kerja’

SATHIYA pernah mencetuskan hilai tawa rakyat Malaysia menerusi watak Ravi dalam sitkom ikonik Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Empat dekad memperjudikan bakat dalam industri seni, pelawak berketurunan India itu telah mencapai kemasyhuran yang tidak sembarangan.

Namun, di sebalik tabir glamor, usia yang kian senja dilaluinya dengan ujian dan dugaan besar.

Selebriti berusia 61 tahun itu kini bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan sehingga memaksanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Bertemu empat mata di kediamannya, senyuman tidak pernah lekang dari bibir meskipun kudrat tubuh sudah dimamah waktu, selain tidak lagi sekuat dahulu akibat serangan angin ahmar.

“Saya okey saja. Masih boleh bercakap dan bersyukur ramai yang datang menolong,” katanya optimis membuka bicara.

MENITI usia emas, Sathiya bahagia dan berpuas hati dengan segala kerja seninya sepanjang empat dekad membina nama sebagai pelawak berbangsa India.

Tidak dihargai bangsa sendiri

Dalam kepayahan melawan penyakit, pemilik nama sebenar Sathia Periasamy itu tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan yang menghimpit perasaannya selama ini.

Air mukanya berubah suram apabila berbicara tentang apresiasi atau lebih tepat, penghargaan daripada bangsa sendiri.

“Jujurnya cakap, yang banyak bantu saya selama ini adalah dua bangsa sahaja, Melayu dan Cina. Mungkin sebab saya banyak berlakon drama dan filem mereka.

Tetapi bangsa India (karyawan seni) sendiri jarang beri peluang. Sedih sangat, rasa macam tidak dihargai.

“Orang panggil saya pergi, kalau mereka tak panggil, saya diam sajalah. Sampai Tuhan panggil saya pula nanti,” luahnya kepada HibGlam.

Tambah pemenang trofi Artis Bukan Melayu Popular 1998/1999 itu, walaupun anugerah dan pengiktirafan pelbagai pihak masih diterima, tawaran kerja daripada industri seni kaum sendiri hampir tiada.

Mereka (karyawan India) bagi trofi, tetapi tidak panggil berlakon. Trofi tidak boleh makan. Melayu dan Cina, mereka bagi kerja, itu yang buat saya bertahan. Tapi bangsa saya? Satu pun tiada. Sedih sangat rasanya.

“Saya bukan marah, cuma terkilan. Orang lain boleh nampak nilai saya, tetapi kaum sendiri seolah-olah tak nampak. Itu yang buat hati ini rasa sayu. Tidak mengapalah, saya okey sahaja,” katanya.

Hidup berteman penyakit

Mengulas tentang kondisi kesihatannya, Sathiya tidak berselindung bahawa dirinya kini menanggung pelbagai penyakit kronik.

Seperti roda nasib yang berputar, dia terus berjuang melawan ujian yang tidak henti-henti menambah derita dalam hidupnya dengan hati terbuka.

TIADA marah mahupun dendam, Sathiya cuma terkilan usaha seninya dipandang sepi kaum sendiri.

“Kalau sebut tentang penyakit, semua ada. Kencing manis, darah tinggi, kolesterol. Tapi yang paling besar sekarang, strok. Julai tahun lalu, saya kena angin ahmar dan strok di kedua-dua kaki dan tangan kanan.

“Minggu lepas, saya jatuh dalam bilik air. Kaki saya tidak kuat, tersembam atas lantai sampai dada kena besen. Masa itu, saya rasa macam dunia saya gelap. Nak bangun pun tak boleh,” dedahnya.

Bagi memulihkan keadaan, pelakon Hantu Telur Kampung itu kini menjalani rawatan akupuntur sebanyak tiga kali seminggu di Ampang dengan kos RM60 setiap sesi dan secara berkala ke hospital untuk ujian kesihatan.

“Kalau mahu sembuh, kena rajin pergi. Syukur, sekurang-kurangnya mulut saya tak senget. Kalau mulut lari (senget), habislah saya. Macam mana nak cari makan kalau tak boleh bercakap.

“Sepanjang atas kerusi roda, empat kali sebulan saya harus ke hospital. Setiap kali pergi, anak dan petugas hospital tolong angkat dari tingkat dua rumah. Saya tak boleh berjalan, tetapi mujurlah ada yang membantu,” ujarnya

Berlakon sampai mati

Meskipun tubuhnya sudah tidak lagi segagah dahulu, bapa kepada dua cahaya mata itu tetap sedia memenuhi sebarang tawaran jika ada pihak memerlukan khidmatnya.

KETIKA tenaganya tidak lagi sekuat dahulu, Sathiya tetap mampu senyum. Dia reda atas segala yang berlaku dan percaya semua terjadi sudah tertulis indah.

Bagi pelawak yang sinonim dengan dialog ‘sudar tukar ka’ itu, seni adalah nadi kehidupan, satu-satunya sebab untuk dia terus melangkah walaupun dalam serba lemah.

“Februari dan Mac depan serta beberapa bulan mendatang, saya masih ada tawaran.

“Saya cuma duduk atas kerusi roda, bercakap beberapa dialog. Pihak produksi faham keadaan saya. Mereka tetap beri peluang.

“Saya akan berlakon sampai mati. Kalau ada tawaran RM1,000 pun saya ambil. Kalau lebih, itu rezeki. Duduk saja di rumah buat apa? Selagi bernyawa, saya akan terus berlakon.

“Rumah sudah ada, kereta pun sudah ada. Saya bahagia dengan keluarga kecil saya. Hari-hari saya happy, kalau mati nanti, saya mati gembira,” tutupnya.

Dalam setiap kata-katanya, jelas legenda seni itu sudah reda menerima takdir yang tertulis buatnya, tidak ada dendam, tiada keluhan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok