‘Tidaklah sempurna tetapi lebih baik, itu yang saya nak’

TERHARU kerap menerima pujian selepas bertudung, pelakon Nora Danish enggan dianggap terlalu alim sehingga boleh membuka ruang kepada orang lain untuk menghakimi setiap tindakannya.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif berkata, dia bimbang andai perubahan yang masih dalam fasa belajar itu membuatkan dirinya dilabel suci sekali gus tidak boleh melakukan kesilapan.

Dalam proses penghijrahan, saya tak nak orang nampak saya ini suci, alim.

“Itu yang paling saya takut sebab apabila melakukan satu kesalahan orang akan menilai kita munafik dan sebagainya,” katanya menerusi perkongsian dalam laman sosial sebuah produk kesihatan.

Memahami harapan ramai, ibu kepada dua cahaya mata itu memaklumkan masih berusaha menjadi muslimah yang lebih baik.

Saya pun memang dalam proses untuk menjadi yang lebih baik. Tidaklah sempurna tetapi lebih baik, itu sahaja yang saya nak sangat,” ujarnya.

Sebelum mengambil keputusan berhijab, pelakon filem Polis Evo 3 itu kerap menghadiri majlis ilmu anjuran rakan selebriti bahkan penampilannya yang manis bertudung sering dipuji netizen.

Nora, 42, memutuskan untuk menutup aurat selepas bercerai dengan bekas suaminya, Nedim Nazri sekitar Jun tahun lalu.

Bahkan, sejak itu dia dilihat semakin kerap mengikuti sesi kuliah serta ceramah agama bersama rakan selebriti lain bagi menambahkan ilmu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok