‘Tiada hati perut, saya benci scammer!’

SIAPA sahaja yang tidak mengenali figura hebat bernama Datuk Aaron Aziz, dari layar perak hingga deretan drama, aktor kelahiran Singapura itu memahat namanya sebagai ikon seni papan atas

Berpuluh tahun mencipta nama di Malaysia, Aaron sinonim dengan watak-watak hero yang penuh aksi, emosi dan karisma tersendiri.

Jenama seninya terus kekal relevan, malah mampu mewarnai pelbagai genre lakonan hingga digelar ‘aktor evergreen’ oleh peminat industri hiburan tempatan.

Berpeluang bertemu empat mata dengan pemilik nama penuh Aaron Mustapha Aziz itu, penulis sempat bertanyakan perkembangan terkininya.

Ujarnya, dia kini sibuk mempromosikan drama terbaharu berjudul Din Tiger arahan Afdlin Shauki.

Menariknya, pelakon berusia 49 tahun itu mengakui, tidak berfikir panjang sebelum menerima tawaran membintangi drama tersebut dek kebenciannya terhadap scammer yang telah banyak menghancurkan hidup manusia.

“Saya tidak suka ‘scammer’. Walaupun saya sendiri belum pernah jadi mangsa, tapi ramai di luar sana terkena, termasuk pembantu rumah saya.

Dia ditipu RM4,000 hanya kerana menekan pautan yang dihantar ke telefon bimbitnya. Saya rasa cerita seperti ini penting untuk diangkat, supaya orang sedar dan lebih berhati-hati.

“Mereka ini (scammer) memang tidak berhati perut, saya kasihan melihat ramai orang menjadi mangsa. Setelah berjumpa dengan Afdlin dan dia ceritakan mengenai drama ini, saya terus bersetuju,” katanya kepada HibGlam.

Bercakap tentang lakonan, bapa kepada tiga orang anak itu menyifatkan wataknya sebagai Din Tiger dalam drama tersebut tidak klise malah sangat berbeza berbanding karakter yang pernah dibawa sebelum ini.

Katanya, watak tersebut lebih tenang, rasional, mengelak kekerasan dan sesuatu yang jarang dilihat daripada lakonannya.

Selalunya, saya sinonim dengan cerita aksi yang penuh pergaduhan. Tapi dalam naskhah Din Tiger, dia percaya, untuk menang bukan melalui tangan.

“Drama ini benar-benar lain daripada jangkaan saya. Afdlin berjaya menghasilkan sesuatu yang segar, unik, dan belum pernah dilakukan dalam naskhah tempatan,” tambahnya.

Aaron turut berkongsi keterujaannya bekerja bawah arahan Afdlin, seorang pengarah yang disifatkan sangat kreatif dan memahami kehendak pelakon.

 Macam saya cakap tadi, bila saya dengar sinopsis daripada Afdlin, saya terus bersetuju.

“Cerita ini dekat dengan realiti kehidupan sekarang. Saya rasa penonton juga akan dapat pengajaran yang berguna,” tuturnya menutup bicara.

Drama yang turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Mia Sara Shauki, Datin Seri Nina Juren, Josiah Hogan, dan Adam Corrie Lee itu sudah menemui penonton bermula 6 Januari lalu menerusi saluran Degup HD, Unifi TV. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok