PERGADUHAN dengan jiran sejak Oktober tahun lalu membawa kepada tragedi kematian pelakon Sandy Permana akibat ditikam di rumahnya di Cibarusah, Bekasi, Jawa Barat, semalam.
Saksi yang melihat pelakon sinetron Mak Lampir itu berlumuran darah di hadapan jalan masuk kediamannya mengakui mangsa sempat menyebut nama pelaku sebelum pengsan akibat kehilangan banyak darah.
Pegawai Komunikasi Polis Daerah Metro Jaya, Kombes Pol Ade Ary Syam Indradi berkata, seramai empat saksi dipanggil untuk disoal siasat berhubung insiden tragis itu.
“Sekurang-kurangnya empat saksi termasuk seorang wanita yang merupakan tetangga dan melihat korban bergaduh dengan seorang lelaki.
“Saksi kedua itu adalah isteri individu yang berkelahi dengan mangsa, pengawal keselamatan dan terakhir seorang lagi jiran yang menyaksikan tercetusnya pergaduhan,” katanya kepada media.
Menerusi bedah siasat, Sandy mempunyai luka tikaman yang dalam di bahagian kepala, leher kiri dan belakang telinga selain robek pada perut kirinya.
Difahamkan, suspek merupakan warga Cibarusah yang mula berseteru dengan mangsa ketika perjumpaan penduduk setempat sekitar Oktober 2024.
Menurut kejiranan itu, hubungan kedua-dua mereka tegang sejak itu namun tidak menyangka kemuncaknya membawa kepada kematian.
Isteri Sandy, Ade Andriani pula berkata, kemungkinan tindakan suspek berpunca tindakan suaminya menegur lelaki terbabit berkenaan tabiat meneguk arak atau minuman keras.
“Ketika perhimpunan penduduk, suami saya ada menegurnya berkenaan minuman keras. Sejak itu dia macam tidak puas hati sehingga berlaku perang mulut.
“Dia juga pernah memotong pokok ketika saya melalui kawasan rumahnya mendorong saya mengingatkannya agar berhati-hati takut terkena orang,” katnya.
Menurut wanita terbabit, Sandy meninggal dunia di hospital berikutan luka tikaman serius yang mengakibatkannya kehilangan banyak darah.
Pemergian Sandy, 43, katanya membuatkan tiga anak mereka yang masih kecil kehilangan kasih sayang seorang bapa.
Sehingga kini polis masih memburu suspek yang didakwa terus melarikan diri ke daerah lain sebaik kejadian. – HIBGLAM