NYARIS tidak menyertai World Championship Of Performing Arts (WCOPA) 2024, penyanyi remaja, Ummi Umairah menghargai sokongan ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membantu menampung kos bagi membolehkannya ke Amerika Syarikat, Jun tahun lalu.
Ibunya, Siti Saerah Tarudin menjelaskan, pihaknya sudah membatalkan penyertaan Umairah pertandingan nyanyian yang menghimpunkan wakil 30 negara tersebut selepas tidak cukup wang perbelanjaan dianggarkan mencecah RM80,000.
Tiga minggu sebelum pertandingan berlangsung, Siti hadir menyumbang wang sekali gus membolehkan Umairah terbang ke Los Angeles bersama rombongan dari Malaysia untuk meneruskan misinya.
“Sebenarnya, kami sudah pun menghubungi penganjur untuk membatalkan penyertaan dalam pertandingan itu berikutan kos termasuk penginapan, penerbangan dan perbelanjaan lain terlalu tinggi.
“Tetapi kami tidak maklumkan pun pada Siti, sebaliknya berusaha dahulu mencari sumber kewangan. Cuma malangnya, dana yang kami berjaya kumpulkan terlalu sedikit.
“Jadi apabila Siti tahu, dia terus meminta Umairah jangan patah semangat. Bukan hanya beri sokongan moral, dia juga mencukupkan kos yang besar jumlahnya.
“Kami sangat terhutang budi dan terharu kerana dengan pertolongannya Umairah dapat mengharumkan negara,” katanya pada majlis Menandatangani Kontrak Umairah sebagai artis pertama di bawah naungan Siti Nurhaliza Legacy (SNL), semalam.
Pada pertandingan WCOPA kali ke-28, Umairah yang juga pelajar sebuah sekolah seni membawa pulang pingat emas dalam kategori Vokal Junior.
Sementara itu, Umairah berbangga dapat membuktikan kepada rakyat Malaysia dan ibu saudaranya bahawa sokongan yang diberikan tidak sia-sia.
“Saya tahu diri ini membawa amanah banyak pihak walaupun calon lain pernah memasuki pertandingan lebih besar termasuk America’s Got Talent (AGT) tetapi saya tidak gentar.
“Pemilihan sebagai artis pertama SNL juga merupakan impian saya sejak kecil kerana saya dibesarkan dengan lagu-lagu Mak Iti (Siti) sejak dari dahulu lagi.
“Ini juga peluang yang tidak akan saya sia-siakan selain ingin terus menimba ilmu daripada Mak Iti dan pengurusan SNL,” ujarnya.
Umairah yang bakal merakamkan single pertama dalam tempoh terdekat menandatangani kontrak selama lima tahun dengan syarikat terbabit. – HIBGLAM.