‘Takut hantar anak, periksa status taska dengan JKM’

INSIDEN kematian bayi usia empat bulan didakwa berlaku di sebuah taska meruntun hati pelakon dan pengacara Uyaina Arshad sekali gus berasa fobia untuk menghantar anaknya ke pusat asuhan.

Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, berkata, sebagai ibu perasaan takut melepaskan permata hati di bawah pengawasan pihak lain semakin menebal susulan insiden tersebut.

Hancur hati baca luahan hati seorang ibu yang baru sahaja kehilangan anaknya.

“Nak cari taska dan tadika. Semua buat saya jadi takut sebenarnya. Nauzubillah,” katanya dalam InstaStory.

Bagaimanapun, pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) itu berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil ibu bapa sebelum menghantar anak ke pusat asuhan.

Antara langkah yang boleh kita ambil sebagai ibu bapa adalah periksa dahulu sama ada taska itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kalau berdaftar, sekiranya apa-apa berlaku kita boleh ambil tindakan dan taska tersebut boleh disiasat dan ditutup,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu tidak ketinggalan menitipkan salam takziah buat keluarga arwah Handzalah atau nama sebenarnya, Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan yang meninggal dunia, Jumaat lalu.

Salam takziah untuk ibu dan ayah baby Handzalah. Semoga kalian bertemu semula di syurga nanti,” ujarnya.

Sebelum ini, tular luahan sedih seorang wanita menerusi hantaran di aplikasi X mengenai bayinya yang meninggal dunia didakwa berpunca daripada kecuaian pihak taska.

Wanita itu mendakwa anaknya ditinggalkan bersendirian di dalam bilik dan dibiarkan tanpa pengawasan sehingga tidak boleh bernafas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok