NAMA pelakon Lia Natalia mungkin tidak sehangat selebriti lain yang sering menjadi bualan, namun kisah hidupnya penuh dengan warna dan cabaran.
Siapa sangka, seorang aktres berbakat yang memulakan karier dengan penuh harapan akhirnya diuji dengan episod perit apabila majlis perkahwinannya dibatalkan pada saat-saat akhir, empat tahun lalu.
Peristiwa pahit tersebut bukan sahaja meruntuhkan harapan, tetapi juga mengajar pemilik nama sebenar Alia Afiqah Abden untuk lebih matang dan berhati-hati menjalani kehidupan.
Tidak mudah untuk kembali bangkit selepas melalui kekecewaan, apatah lagi apabila segala persiapan hampir lengkap.
Lia memilih untuk tidak terus meratap kepahitan lalu sebaliknya menjadikan kegagalan sebagai titik tolak memperbaiki diri dan fokus kepada perkara lebih penting.
Doakan yang terbaik buat saya. Banyak yang saya belajar daripada perpisahan lalu. Hidup ini bukan tentang apa yang hilang, tetapi bagaimana kita bangun selepas jatuh.
“Saya akui, terlalu banyak berkongsi tentang kebahagiaan dalam media sosial memberi kesan buruk. Apabila semuanya tidak menjadi, semua itu meninggalkan luka yang dalam. Jadi, kali ini, saya lebih berhati-hati,” katanya.
Empat tahun berlalu, Lia masih belum menemui pengganti untuk mendirikan mahligai bahagia.
Namun, aktres kelahiran Tawau, Sabah itu tidak pernah menutup pintu hati, sebaliknya masih dalam fasa mengenali hati budi beberapa individu.
“Sekarang, saya berkawan dengan ramai orang. Saya percaya jodoh itu rahsia Tuhan, tetapi apa yang penting, lelaki itu mesti bujang.
Saya tidak mahu berkongsi kasih dengan wanita lain. Kalau sudah jumpa seseorang yang sesuai dan tiba masanya, saya akan kongsikan berita baik dengan semua.
“Saya juga tidak mahu terlalu berharap kerana pengalaman mengajar bahawa bukan semua perkara boleh dirancang mengikut kehendak kita,” ujarnya.
Mahu hidup tenang tanpa gangguan, wanita berusia 32 tahun itu enggan lagi membuka kisah lama yang disifatkan sekadar mencalar maruah diri dan pihak lain.
“Saya tidak mahu membuka cerita lama kerana itu tidak akan mengubah apa-apa. Apa yang sudah berlaku biarlah menjadi pengajaran, bukan sesuatu yang perlu diungkit.
Setiap peristiwa, baik atau buruk, ada hikmah tersembunyi. Saya percaya, Tuhan mahu saya lebih berhati-hati dan kuat.
“Jadi, saya teruskan hidup dengan fokus kepada perkara penting seperti keluarga dan kerjaya. Saya tidak mahu terlalu memikirkan apa yang sudah tiada,” tuturnya.
Bercakap mengenai karier, wanita tinggi lampai itu mengakui kerjayanya bergerak perlahan. Keutamaannya kepada keluarga sementelah bapanya kurang sihat.
Sebagai anak, menjaga keluarga menjadi tanggungjawab walaupun terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Tawau.
Bukan saya memperlahankan aktiviti seni, tetapi banyak perkara lain memerlukan perhatian saya. Ayah tidak sihat, jadi saya perlu kerap balik kampung menguruskan keperluannya.
“Saya juga menguruskan bisnes sebagai penganjur acara di Sabah. Baru-baru ini, saya menganjurkan acara Pesta Kaamatan yang membabitkan rakan artis seperti Rozita Che Wan dan Chacha Maembong,” jelas Lia.
Dalam perkembangan lain, Lia sedang memperomosikan fiilem terbaharu dibintanginya berjudul Papa, arahan ZH Emdee.
Filem tersebut juga dibintangi pelakon hebat seperti seperti Hasnul Rahmat, Aniq Durar dan Puteri Balqis yang sudah pun ditayangkan di pawagam bermula 2 Januari lalu. – HIBGLAM