PELAKON veteran terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan menyatakan hasrat berehat seketika daripada dunia hiburan kerana mahu fokus beribadah tahun ini.
Bakal menginjak usia 71 tahun menjelang Februari ini memberitahu, Jalaluddin akan menunaikan umrah pada bulan ini sebelum kembali Tanah Suci bagi ibadah haji.
Jalaluddin memberitahu, keputusan itu dibuat setelah mendapat petunjuk melalui solat istikharah yang dilakukan sebelum ini.
“Saya nak berehat sekejap daripada dunia hiburan kerana bulan ini saya akan buat umrah dan mahu tunaikan haji tahun ini juga. Semua dalam perancangan. Saya terfikir kalau tidak buat sekarang, bila lagi? Sampai bila nak bagi alasan macam-macam. Bila saya duduk dan bertahajud serta istikharah minta petunjuk. Saya dapat seru kalau tak buat sekarang tak tahu bila lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas terlibat dalam program Semarak Karya Agung: Pementasan Teater ‘Seorang Tua Di Kaki Gunung’ di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Kedah, semalam.
Dalam pementasan itu, Jalaluddin buat kali pertama menerajui peranan utama dalam karya prolifik Allahyarham Azizi Haji Abdullah sebagai Tukya di samping pengarah teater terkenal, Dr Norzizi Zulkifli.
Ujar Jalaluddin lagi, dia akan menunaikan umrah dan haji bersama isterinya, Datin Rapidah Abd Ghani.
“Saya tidak dapat panggilan haji tetapi berhasrat untuk pergi melalui syarikat swasta. Memang mahal sikit tetapi tidak apalah. Saya fikir tentang keindahan beramal ibadah di sana nanti selepas umrah kemudian naik haji pula,” katanya.
Menyentuh tentang karier, kata Jalaluddin, mutakhir ini dia lebih banyak terlibat sebagai duta kempen dan produk kesihatan berbanding berlakon.
“Sebab itu saya terkejut apabila menerima peranan utama dalam teater Orang Tua di Kaki Gunung ini. Saya cuma mempunyai masa kurang seminggu untuk menghayati watak dan berlatih bersama pelakon lain di Kedah. Bagaimana saya berlakon? Saya serahkan kepada penonton,” katanya. – HIBGLAM