RUMAH agam mewah di Malibu, Los Angeles antara kawasan terjejas akibat kebakaran hutan, selebriti Paris Hilton hanya mampu menangis menyaksikan kediamannya musnah dijilat api menerusi laporan berita.
Anak mogul hotel itu tidak dapat menahan kesedihan melihat ‘syurga’ miliknya yang menyimpan pelbagai memori manis keluarga kecilnya musnah dalam sekelip mata.
Katanya, dia dan suami, Carter Reum mencipta banyak kenangan indah sepanjang tinggal di sana terutama selepas kelahiran dua permata hati mereka, Phoenix, 2, dan London, 14 bulan.
“Menonton berita sambil melihat rumah saya musnah di televisyen adalah perkara yang sangat menyedihkan dan tidak seharusnya dilalui sesiapa pun.
Kami boleh membina banyak lagi rumah namun tidak akan sama dengan tempat istimewa yang kami sudah lama tinggal dan menyimpan memori bermakna.
“Walaupun kehilangan itu amat dirasai, saya bersyukur semua ahli keluarga selamat, doa kami sentiasa buat keluarga yang terkorban dalam kebakaran tersebut,” katanya.
Paris, 43, turut menzahirkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus memadamkan api, sekali gus menganggap mereka adiwira sebenar.
Kepada anggota bomba yang berani dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk melindungi kami, anda adalah wira sejati.
“Saya sangat berterima kasih atas keberanian, dedikasi dan pengorbanan luar biasa yang anda lakukan untuk menyelamatkan situasi ini. Terima kasih dari lubuk hati saya,” ujarnya.
Turut terkesan dengan tragedi yang mengakibatkan wilayah antara Malibu hingga ke Santa Monica terjejas adalah beberapa selebriti Hollywood lain yang turut kehilangan tempat tinggal.
Antaranya Mandy Moore, Spencer Pratt, James Woods, Diane Warren, Cameron Mathison dan Ricki Lake yang meluahkan kesedihan dalam laman sosial.
Terdahulu, seramai lima mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kebakaran besar di wilayah berkenaan dengan mangsa terjejas dipindahkan ke kawasan selamat.
Pelbagai usaha diambil bagi mengelakkan kebakaran terus merebak namun keadaan angin kencang menjadikan situasi sukar dikawal.
Lebih 1,000 bangunan dilaporkan musnah susulan beberapa kebakaran hutan tercetus di sekitar bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat itu.
Wisma Putra melalui Konsulat Jeneral di Los Angeles mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terkesan dengan insiden berkenaan setakat ini. – HIBGLAM