LEMBARAN 2025 sudah memasuki helaian keempat, segala kisah suka duka 2024 sudah tersimpan rapat jadi kenangan.
Meneruskan gelombang dunia hiburan yang sensasinya tidak mengenal awal atau hujung tahun, sisipan sulung HibGlam edisi 2025 menampilkan satu nama yang hadir dengan semangat luar biasa, Harissa Adlynn.
Meski baru empat tahun berkecimpung dalam industri, si kembang 22 tahun itu sedang menebarkan wangi dengan deretan drama hit seperti Iskandar Chempaka, Dedaun Hijau Di Angin Lalu dan Calar Cinta.
Lakonan yang serba semula jadi membuktikan bakatnya bukan calang-calang. Kelebihan yang dimiliki mudah sahaja menambat hati penonton.
“Empat tahun dalam industri ini bukan tempoh mudah. Saya bermula dengan langkah kecil, namun Tuhan lancarkan. Sekarang, bakat mula disedari ramai. Itu nikmat yang sangat saya syukuri.
Saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk terus melompat ke puncak, tetapi apa yang saya lakukan adalah memberi sepenuh jiwa raga dalam setiap projek.
“Bila orang mula hargai kerja saya, rasa macam mimpi. Semua itu jadi pemangkin untuk terus bergerak maju,” katanya.
Meniti garis awal 2025, pemilik nama sebenar Harissa Adlynn Abd. Halim enggan sekadar menjadi penyeri landskap hiburan.
Dia berazam bekerja lebih keras, malah menyasarkan watak-watak lebih mencabar sebagai ruang menonjolkan lagi bakat.
“Saya selalu impikan watak yang boleh mencabar diri, seperti orang buta atau pekak. Watak begitu perlukan emosi mendalam dan ekspresi halus, terutama melalui mata.
Bayangkan kita perlu sampaikan perasaan tanpa suara atau pandangan yang fokus ke depan sahaja, tanpa interaksi visual.
“Itu satu seni yang mendalam. Saya ingin belajar dan meneroka keindahan lakonan begitu, termasuk mendalami bahasa isyarat,” jelasnya.
Bersungguh-sungguh mahu bergelar aktres papan atas, Harissa turut menyuarakan keinginan bergandingan dengan aktor senior yang sangat dikagumi, siapa lagi kalau bukan Beto Kusyairy.
“Teringin sangat bekerja dengan Beto Kusyairy. Dia seorang yang sangat profesional, matang, dan penuh rasa hormat terhadap orang lain.
Saya rasa dia bukan sahaja boleh menjadi mentor, bahkan inspirasi untuk kita jadi pelakon lebih baik di set.
“Jika berpeluang bekerjasama, saya pasti akan belajar banyak perkara, bukan sekadar teknik lakonan tetapi etika kerja,” ujarnya.
Bukan hanya lakonan, anak tunggal itu juga enggan bakat nyanyiannya disia-siakan. Puteri kesayangan Ajaah Mohd. Radzi itu juga melebarkan sayap impian ke dunia muzik.
Tahun 2025 bakal menjadi saksi pelancaran single pertama hasil nukilan sendiri, yang dikatakan sudah lama tersimpan sebagai mimpi yang belum tergapai.
“Saya sebenarnya sudah tulis beberapa lagu sendiri. Genre? Masih lagi romantik kerana itu jiwa saya, tetapi lebih penting, liriknya datang daripada hati.
Single pertama saya akan dilancarkan dalam masa terdekat. Lagu itu ditulis saya sendiri sepenuhnya. Walaupun pihak studio buat penambahbaikan, jiwa lagu tetap milik saya.
“Harapnya, karya saya ini dapat menyentuh hati pendengar,” luahnya penuh semangat, menggambarkan muziknya sebagai refleksi dirinya.
Misi kemanusiaan
Dalam sibuk mengatur jadual seni, anak jati Selangor itu tidak lupa menumpahkan keprihatinan terhadap aspek kemanusiaan.
Bersama NGO MAHART (Malaysian Humanitarian Aid & Relief), Harissa kini sedang dalam misi kemanusiaan di Jordan membantu pelarian Palestin.
Sejak kecil saya memang sukakan kerja amal. Bagi saya, membantu orang adalah tanggungjawab sebagai insan. Tahun ini, saya berpeluang menyertai misi ke Jordan untuk memastikan bantuan keperluan sampai kepada insan memerlukan.
“Kami akan bertemu pihak di sana untuk berbincang dan memastikan segala proses berjalan lancar.
Saya seronok terlibat secara langsung dengan program sebegini.
“Bagi saya, memberi tenaga dan masa kepada mereka yang memerlukan lebih memuaskan hati daripada sekadar menulis dalam media sosial,” tuturnya.
Inspirasi
Harissa memulakan tahun baharu dengan langkah penuh azam dan harapan.
Memperjudikan nasib dalam bidang penuh persaingan, baginya, kerja keras dan keikhlasan adalah kunci kejayaan.
Setiap peluang adalah tanggungjawab. Saya tidak akan mengambil mudah kerana rezeki datang dengan usaha yang tidak pernah berhenti.
“Doa untuk 2025, semoga saya dapat terus memberi inspirasi kepada orang lain, baik melalui seni atau kerja amal.
“Saya mahu dikenali bukan sekadar sebagai pelakon atau penyanyi, malah insan yang menyumbang kepada masyarakat,” tutup Harissa penuh makna. – HIBGLAM