‘Satu lagi perjalanan hidup menakjubkan’

Tidak pernah sepi daripada radar dunia hiburan, pempengaruh media sosial yang juga adik kepada selebriti Neelofa iaitu Ameera Khan menyifatkan perjalanan hidupnya sepanjang tahun lalu seperti permainan ‘roller coaster’.

Ameera, 24, bagaimanapun bersyukur, banyak permintaannya dimakbulkan Tuhan dan pelbagai perkara dipelajarinya sepanjang tahun ini.

“Alhamdulillah untuk tahun yang sangat hebat. Terlalu banyak perkara yang saya minta dan Allah SWT telah makbulkannya untuk saya. Dia sememangnya Maha Penyayang dan Pemurah.

Tahun 2024 seperti ‘roller coaster’ yang membawa saya ke atas dan terbang tinggi. Apa yang saya pelajari ialah kalau ada niat yang betul, tiada apa yang mampu menidakkannya,” katanya dalam InstaStory semalam.

Percaya dengan setiap takdir Allah, Ameera berkata, kunci memiliki kebahagiaan dalam hidupnya adalah yakin dan sabar.

“Yakinlah dengan apa sahaja yang kalian minta daripada Allah dan Dia akan mewujudkannya untuk kalian.

“Alhamdulillah, untuk apa yang saya ada, dan akan miliki. Tahun baharu ini dimulakan dengan hati yang gembira, dikelilingi keluarga dan rakan-rakan serta bersama orang yang saya cintai.

Saya berasa gembira, selamat dan tenang. Saya tahu Tuhan akan memberi satu lagi perjalanan hidup yang menakjubkan tahun ini,” ujarnya.

Sejak kebelakangan ini, nama Ameera sering menjadi bahan bualan ramai apabila dia kerap berkongsi foto mesra bersama teman lelakinya, aktor Indonesia, Jefri Nichol.

Ameera baru-baru ini juga berasa lega dan syukur apabila keluarganya menyokong hubungannya dengan Jefri selain tidak perlu untuk memenuhi kehendak mana-mana pihak kecuali individu terdekat.

Terdahulu, Jefri juga berdepan kecaman selepas membuat pendedahan pernah meniduri lebih 20 wanita selain berlaku curang terhadap pasangannya.

Dia juga pernah mengakui menjamah daging babi untuk menambah berat badan sebagai persediaan sukan tinju. –HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok