DIDAKWA menjual makanan harga cekik darah, penyanyi Mark Adam menjelaskan kadar jualan set Sate Bhalut keluarannya adalah munasabah apabila hanya menggunakan daging premium.
Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah, 45, berkata, setiap bahan mentah diambil daripada pembekal yang dijamin kualiti serta diperakui ramai pengusaha restoran terkenal.
“Saya menggunakan daging premium di mana kami ambil dari kilang sate yang diakui kredibilitinya. Kilang ini sediakan sate untuk hotel, restoran terkemuka bahkan digunakan di premis milik selebriti chef terkenal.
Sebelum dibalut dengan popiah, sate itu beratnya 30 gram. Kalau ikut harga pasaran kita pilih paling mahal 500 gram RM30 dan satu cucuk RM7.50.
“Itu belum kira untung yang kilang ambil lagi. Air pula kita guna cawan besar RM3, jadi semua (harga kos) RM10.50,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Menurut pelakon juga pelawak itu, harga RM21.90 dikenakan bagi set tiga cucuk sate daging bersama segelas air sememangnya sepadan dengan kualiti.
Katanya lagi, kadar dikenakan turut meliputi pengiraan kos logistik, sewa tapak serta gaji 10 pekerja yang perlu dibayar sepanjang festival di Shah Alam, Selangor.
Berikutan kecaman ramai yang mempersoalkan harga dikenakan, penyanyi asal Filipina itu mengakui mula merasakan kepayahan peniaga lain mencari rezeki.
Sekarang saya nak bawa awak semua kira kos saya. Selepas kira, untung hanya RM2,900 dan adakah kalian rasa ini cukup untuk bayar sewa tapak?
“Saya minta maaf tapi saya masih belajar dan baru saja nak mula berniaga. Tapi agak-agaklah dengan apa yang kalian fikir kalau tak tahu.
Sudah ramai orang beli tapi yang tak beli pula banyak komen. Apa hal? Dah tahun baharu dan baru saya rasa macam mana kesusahan peniaga lain.
“Saya minta maaf kalau ada yang tersinggung, semoga sihat selalu dan jangan lupa sokong peniaga di luar sana,” ujarnya.
Terdahulu, video dimuat naik seorang pempengaruh makanan menunjukkan setiap set Sate Bhalut tiga cucuk berserta minuman di gerai Mark di sebuah festival makanan dijual antara RM19.90 sehingga RM24.90.
Kadar tersebut dikatakan tidak masuk akal sehingga ada yang menyifatkannya sebagai ‘harga Israel’. – HIBGLAM