Sah cerai selepas 8 tahun, Jolie-Pitt rebut aset RM277 juta

GENAP lapan tahun melalui prosedur panjang di mahkamah, pasangan sensasi Angelina Jolie dan Brad Pitt
akhirnya sah bercerai pada 30 Disember lalu.

Mereka menandatangi dokumen persetujuan perceraian sekali gus menamatkan kemelut yang sudah lama menjadi tontonan umum.

Peguam mewakili bintang filem Maleficent itu memaklumkan anak guamnya lega apabila berjaya menyelesaikan kes cerai tersebut selepas sekian lama.

“Jolie keletihan namun lega,” kata peguam terbabit.

Meski sudah sah bercerai, masih ada beberapa isu lain yang perlu diselesaikan atas persetujuan bersama.

Antaranya membabitkan aset bernilai RM277 juta selain ladang anggur Chateau Miraval di Perancis yang menjadi rebutan kedua-duanya.

Menurut sumber, difahamkan pengesahan perceraian itu memudahkan Pitt untuk menyegerakan pernikahannya dengan pereka barang kemas, Ines de Ramon, 32.

Bahkan, aktor berusia 61 tahun itu mahu keenam-enam anak mereka iaitu Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Vivienne dan Knox ada bersamanya dalam majlis itu nanti.

Dia kini berusaha memenangi semula hati anak-anak yang sebelum ini dilihat lebih berpihak kepada Jolie.

Terdahulu, tindakan Jolie yang hidup bersama Pitt selama 10 tahun sebelum mereka berkahwin mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian pada 2016.

Mereka hanya sempat menjalani kehidupan berumah tangga selama dua tahun sebelum tercetus konflik sehingga mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok