PERNAH hampir kehilangan nyawa akibat kemalangan 13 tahun lalu, pelakon Syafiq Kyle bersyukur masih dipanjangkan usia untuk menikmati kehidupan sehingga ke hari ini.
Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abd. Razak, 33, berkata, insiden tersebut berlaku ketika dalam perjalanan ke universiti apabila motosikal ditunggang melanggar batu besar di tengah jalan.
“Saya pernah kemalangan ketika umur 20 tahun dan waktu itu baru masuk Hero Remaja sehingga terpaksa dikecualikan dalam pertandingan tersebut. Malam final sahaja saya hadir.
Dulu saya menunggang motor scrambler jenis tinggi yang saya guna untuk ke kelas dari rumah di Cheras ke UiTM Puncak Perdana.
“Saya jatuh sebaik terlanggar batu dan tak ingat apa sampai fikir sudah mati. Saya luka teruk. Masih ada parut sampai sekarang. Helmet saya pecah dan motor ‘total lost’,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Menurut pelakon filem Sherif: Narko Integriti itu, dia hanya sedar apabila diberi rawatan kecemasan dalam ambulans ketika dibawa ke hospital.
Begitupun kata Syafiq, suara ibu serta emak saudara yang memanggil namanya selepas beberapa jam di hospital membuatkan matanya terbuka.
Saya perasan ada orang panggil nama, pakaikan gas (alat pernafasan) tapi saya rasa gelap, tak nampak cuma dengar suara.
“Memang tak boleh nak buat apa, tak dapat nak buka mata. Beberapa jam juga dalam keadaan begitu sehinggalah saya terdengar suara mak dan makcik saya.
Itu suara pertama yang saya dengar. Gembira betul, saya dapat bangun. Tengok saya masih dalam pakaian ketika kemalangan yang rabak tapi dah dipotong,” kongsinya.
Syafiq turut mengakui ketika itu dia melalui pengalaman seperti orang ramai sedang menguruskan jenazahnya untuk dikebumikan.
“Saya fikir ketika itu saya sedang melalui proses kematian. Saya nak mengucap dua kalimah syahadah pun tak mampu.
Tak pasti kalau kita mati kita tak sedar. Apabila mati kita terbangun dan tengok kita sendiri yang sudah mati.
“Selepas itu ada orang uruskan mayat kita, saya ingat saya pernah mengalami situasi seperti itu,” katanya. – HIBGLAM