Nikah dalam waktu terdekat, majlis luar KL – Siti Saleha

SELEPAS tiga tahun menyulam cinta, pelakon Siti Saleha mengakui bakal melangsungkan pernikahan dengan pereka fesyen Joshua Fitton dalam waktu terdekat.

Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum, 35 bagaimanapun memilih merahsiakan tarikh sebenar hari bahagianya namun mendedahkan persiapan sudah hampir selesai.

“Ya, kami akan berkahwin. Setelah tiga tahun bersama, kini tiba masanya kami mengambil langkah seterusnya.

Untuk persiapan perkahwinan semuanya berjalan lancar setakat ini. Bulan ini memang banyak perkara perlu diselesaikan.

“Persiapan kini berada pada tahap 60 peratus dan bakal disempurnakan dalam tempoh singkat. Soal kerja pula saya cuma perlu habiskan penggambaran tiga hari lagi sebelum fokus sepenuhnya kepada majlis,” katanya kepada Kosmo! Online.

Lebih mengujakan, pelakon drama Tujuh Hari Mencintaiku itu turut berkongsi, majlis resepsinya nanti bakal berlangsung di luar Kuala Lumpur.

Majlis perkahwinan saya akan diadakan di Malaysia tetapi di luar Kuala Lumpur. Bahagian saya lebih kecil dan tertutup, manakala keluarga Joshua pula akan meraikan dengan lebih meriah.

“Dia asal Melaka dan anak sulung yang belum berkahwin. Jadi keluarganya sangat teruja bahkan untuk di Melaka, resepsi juga dirancang lebih besar,” ujarnya pada majlis pelancaran EP terbaharu Dasha Logan dan Datuk David Arumugam berjudul Legasi.

Ditanya perasaan menjelang hari bahagia, Bintang Asia Terbaik Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 itu mengakui berdebar tetapi pada masa sama tidak sabar memulakan babak baharu dalam hidupnya.

“Sudah tentu terselit rasa gementar tetapi saya percaya perkahwinan ini adalah sesuatu yang baik.

Perkahwinan adalah satu tanggungjawab besar. Ini adalah permulaan baharu buat saya. Insya-Allah, doakan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Sebelum ini, aktres yang mesra disapa Sally itu mendedahkan dirinya telah bertunang selepas tiga tahun menjalinkan hubungan istimewa dengan Joshua.

Sebelum ini Saleha pernah mendirikan rumah tangga bersama Ahmad Lutfi Azhar namun perkahwinan tersebut berakhir pada 2021 selepas empat tahun hidup bersama.

Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok