[VIDEO] ‘Mohon beri ruang’ – Fasha enggan komen imej berhijab

Maaf, tiada komen.”

Itu jawapan aktres popular, Fasha Sandha saat ditanya tentang adakah dia kini sudah berhijab sepenuhnya kerana sering dilihat tampil dengan imej sebegitu mutakhir ini.

Malah, sewaktu hadir ke acara Anugerah Nona Superwoman 2024 semalam, Fasha tampil jelita memakai hijab berwarna hitam sedondon dengan busananya.

Menurut Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, dia tidak berani untuk mengatakan ya atau tidak tentang imej yang sedang dibawakannya kini.

“Saya takut sebenarnya nak komen. Saya rasa saya tidak layak untuk bercakap tentang hal-hal keagamaan kerana belum cukup sempurna.

“Banyak lagi kelemahan saya yang harus diperbaiki daripada saya bercakap tentang kebaikan diri. Saya mohon diberikan ruang dan doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga,” katanya kepada HibGlam.

Sementara itu suami Fasha iaitu Aidil Aziz berkata dia sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan isterinya.

“Sebagai seorang suami sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk isteri saya. Jadi saya sentiasa doakan yang terbaik untuk Fasha,” ujarnya.

Terdahulu, penampilan Fasha yang dilihat memakai hijab sewaktu menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Sheila Rusly minggu lalu mendapat perhatian ramai. Ramai yang meneka pelakon filem Anak Mami Kembali itu kini sudah berhijab sepenuhnya. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok