‘Mimpi ada dua tangan sempurna, saya rindu’

PENYANYI Zubir Khan mengakui merindui momen memiliki tubuh yang sempurna terutama pada bahagian tangan kanannya yang mengalami kecacatan kekal sejak berusia empat tahun.

Kata Zubir atau Muhammad Zubir Muhammad Ali, 25, itu yang dirasakan apabila didakwa tidak bersyukur dengan keadaan fizikalnya selepas memuat naik foto suntingan peminat yang memaparkan dia mempunyai sepasang tangan baru-baru ini.

“Saya kongsi gambar itu bukan sebab tak bersyukur tetapi kerana mimpi mempunyai dua tangan.

Cuma saya rindu (ada tangan). Tidak semestinya kena rindu orang atau benda lain dan tidak salah untuk rindu tangan sendiri.

“Peminat itu baik hati suntingkan foto tersebut, tiada apa pun, cuma rindu tangan saya,” katanya kepada Kosmo! Online pada XO House Party baru-baru ini.

Positif dan menerima kekurangan diri seadanya, Zubir sentiasa percaya setiap kehilangan pasti akan digantikan dengan perkara lebih baik.

“Di dunia ini kalau Allah SWT ambil sesuatu, Dia akan gantikan dengan yang lain.

Dulu saya pernah anggap diri tidak berguna kerana keadaan tangan begini, tetapi sekarang saya boleh buat banyak perkara termasuk memandu kereta dan menunggang motosikal.

“Saya kongsikan kepada semua kerinduan itu. Kalau anggap saya tidak bersyukur, terpulanglah. Kita tidak boleh puaskan hati semua,” ujarnya.

Terdahulu, pelantun lagu Yennode Macha itu mengundang perhatian ramai apabila berkongsi foto dirinya duduk di atas sebuah kereta dan tangan kanannya berada dalam keadaan sempurna.

Dalam ruangan komen, rata-rata warganet memberi kata-kata semangat kepadanya namun terdapat segelintir individu mendakwa dia tidak dapat menerima kekurangan fizikalnya.

Sebelum ini, Zubir mendedahkan kecacatan kekal itu berlaku disebabkan tangan kanannya termasuk dalam mesin kek sewaktu berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok