Terlalu mudah dan tiada cabaran, pelakon Che Puan Juliana Evans mengakui enggan melakonkan watak penyondol yang disifatkan klise selain tidak memberi impak positif kepada penonton.
Ujar Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans, 36, dia sangat selektif dalam memilih karakter atas prinsip mahu menyampaikan mesej bermanfaat, terutama yang mampu mengangkat martabat wanita.
“Saya memang tidak akan ambil watak penyondol. Saya tak mahu bawa karakter seperti itu. Kadang-kadang dapat peranan yang kurang sesuai, saya tolak.
“Sebelum ini memang ada tawaran watak begitu. Rasanya hampir semua drama sekarang mesti ada karakter penyondol. Tapi bagi saya, watak sebegitu terlalu mudah, tidak mencabar dan sangat tipikal.
“Sebagai pelakon, saya tak mahu dikenali hanya kerana watak seperti itu, karakter sebegitu merendahkan wanita,” katanya kepada HibGlam.
Sebagai seorang ibu dan anak seni yang lama bertapak dalam industri, pelakon filem Mael Lambong itu mahu membawakan watak lebih bermakna, mencerminkan kekuatan dan kehebatan wanita dalam menghadapi cabaran hidup.
“Saya mahu watak yang menonjolkan wanita kuat, melindungi dan mempertahankan haknya. Itu lebih bermanfaat berbanding menjadi perampas suami orang.
“Saya suka cabaran. Sebagai contoh, saya mahu watak-watak berkaitan penyelamatan, biografi, atau perjuangan seseorang untuk bangkit. Cabaran sebegitu membuatkan saya lebih menghargai seni lakonan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, meskipun bersedia menerima watak antagonis, dia tetap memilih karakter jahat yang lebih berkualiti selain tidak merosakkan imej wanita.
“Kalau watak jahat seperti dalam teater Bawang Putih Bawang Merah yang pernah saya bawakan sebelum ini, saya tiada masalah. Tapi kalau jadi penganggu rumah tangga, saya rela lepaskan.
“Kadang-kadang tengok TV pun hampir semua sama. Lama-lama rasa seperti bencinya wanita digambarkan begitu. Sebab itu saya nak tampilkan kelainan.
“Kita mahu tunjukkan kehebatan seorang wanita. Apa kelebihan kita. Bukan fokus terhadap perkara negatif,” tuturnya pada majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa, di sini, malam tadi.
Berkongsi pembabitan dalam filem Bisikan Dosa, Juliana yang membawakan watak Doktor Delina memberitahu, naskhah itu adalah filem pertama dilakonkan selepas melahirkan anak kedua, Jun tahun lalu.
Filem Bisikan Dosa terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan arahan Faizul A Rashid turut dibintangi Farid Kamil, Sara Ali, Uqasha Senrose dan Sherry Merlis yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 9 Januari nanti. – HIBGLAM