‘Mereka yang bertudung manusia biasa, tak lari daripada dosa’

Semua manusia tidak sempurna, pelakon Nora Danish, menyeru masyarakat agar tidak terlalu menilai wanita yang menutup aurat sebagai individu suci atau kalis daripada melakukan kesilapan.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, berkata, sebagai manusia biasa, tiada siapa yang mampu lari daripada melakukan dosa meskipun sudah menutup aurat.

“Mentaliti ini kita kena ubah dan sedar bahawa mereka (menutup aurat) juga manusia biasa, tidak lari daripada melakukan dosa.

“Yang Allah lihat adalah taubatnya. Jadi janganlah kita pandang sesiapa pun suci, semua pun sama makhluk Allah supaya kita tidak terlalu menilai mereka jika mereka diuji,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram Story.

Pelakon filem Sayu Yang Syukur itu juga turut memuat naik video pendek memaparkan seorang wanita yang menjelaskan bahawa tiada manusia sempurna, termasuk umat Islam yang beriman.

Tambahnya, setiap individu pasti melakukan kesalahan, tetapi keinsafan dan usaha untuk bertaubat merupakan perkara yang lebih utama.

“Bila mereka yang bertudung atau berjubah, berserban dianggap suci dan tidak boleh melakukan dosa.

“Dihukum, dihina teruk apabila mereka melakukannya sampai terkadang dituduh munafik,” jelasnya.

Sebelum mengambil keputusan berhijab, Nora kerap menghadiri majlis ilmu anjuran rakan selebriti bahkan sering dipuji netizen melihatkan penampilannya yang bertambah manis bertudung.

Keputusan Nora untuk kekal dengan penampilan menutup aurat selepas bercerai dengan bekas suaminya, Nedim Nazri sekitar Jun tahun lalu.

Bahkan, sejak itu dia semakin kerap mengikuti sesi kuliah serta ceramah agama bersama rakan selebriti lain bagi menambahkan ilmu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok