MESKI diputarkan hanya pada musim Krismas, penyanyi terkemuka Mariah Carey mencatat pencapaian luar biasa apabila meraih royalti sehingga RM22.3 juta (AS$5 juta) setiap tahun menerusi lagu ikoniknya, All I Want for Christmas Is You.
Menurut laporan berita antarabangsa, jumlah bayaran tersebut meliputi royalti penjualan secara fizikal, penstriman serta pemutaran dalam media massa.
Selari dengan kejayaan lagu tersebut, Carey turut meraih sebahagian besar royalti kerana dia merupakan penulis dan penerbit untuk karya itu.
Perkara itu bukan sahaja menjadikan Carey sebagai penyanyi dengan pendapatan tertinggi tetapi juga antara pencipta lagu yang menerima menerima jumlah royalti terbesar di dunia.
Beberapa tahun kebelakangan ini, lagu yang dilancarkan sekitar tahun 1994 itu berada di kedudukan teratas carta muzik di pelbagai negara, termasuk Carta Hot 100 di AS.
Lagu tersebut juga menjadi antara karya paling banyak diputarkan dalam platform penstriman seperti Spotify dan Apple Music setiap kali menjelang musim Krismas.
All I Want for Christmas Is You merupakan hasil ciptaan Carey bersama penulis lagu Walter Afanasieff yang bertemakan cinta dengan menggambarkan harapan seseorang ingin disayangi pada musim perayaan.
Lagu ini turut mencatat pelbagai rekod lain termasuk menjadi lagu Krismas pertama yang menjuarai carta muzik terbesar dunia iaitu Billboard Hot 100 pada 2019. – HIBGLAM