Leraikan isu status perkahwinan, Rizky, Mahalini nikah semula

ENGGAN status perkahwinan terus diragui, pasangan selebriti Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini, akhirnya menjalani akad nikah semula pada 27 Disember tahun lalu.

Majlis akad nikah kedua berlangsung di Hotel Raffles, Kuningan, Jakarta Selatan sekitar pukul 9 pagi waktu tempatan bagi memastikan perkahwinan mereka sah mengikut undang-undang negara dan agama.

Ketua Kantor Urusan Agama (KUA) Setiabudi, Nasrullah berkata pasangan itu kini memiliki buku nikah yang melengkapkan syarat perkahwinan rasmi di Indonesia.

“Mereka sudah menikah di KUA Setiabudi setelah sebelumnya mendaftarkan pernikahan mereka.

“Kini sesuai tercatat di KUA pada hari Jumaat, 27 Disember.

“Semuanya sah dan mencukupi dari sudut agama serta undang-undang. Butiran lengkap juga telah didaftarkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Agama Jakarta Selatan mengisytiharkan pernikahan Rizky dan Mahalini pada 10 Mei 2024 sebagai tidak sah kerana gagal memenuhi salah satu rukun nikah.

Menurut Humas Pengadilan Jakarta Selatan, H. Suryana, masalah timbul apabila wali nikah pasangan tersebut bukan daripada pihak keluarga tetapi seorang ustaz.

“Pemilihan wali tidak sesuai dengan peraturan yang ditetapkan dalam undang-undang, menyebabkan akad nikah pertama mereka terbatal,” jelasnya.

Kontroversi ini mendapat perhatian ramai memandangkan Rizky merupakan anak kepada pelawak terkenal Sule, manakala Mahalini pula penyanyi popular kelahiran Bali. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok