Kemelut dengan ibu, Nelissa Nizam mahu selesai secara privasi

Terjebak isu keganasan domestik, pelakon Nelissa Nizam meminta diberi ruang bagi menyelesaikan kemelut ibunya, Ayu Manaf yang tular baru-baru ini secara privasi.

Bagi meleraikan masalah tersebut, Nelissa atau nama penuhnya Nelissa Edreena Nizam, 26, berkata dia sudah menghubungi dan akan bertemu dengan ibunya dalam tempoh terdekat.

Buat masa sekarang, saya perlu jumpa ibu terlebih dahulu dan barulah boleh beri sebarang kenyataan. Isu ini saya tak mahu komen banyak.

“Alhamdulillah, saya sudah hubunginya dan tunggu ibu bersedia untuk bertemu. Mungkin dia pun sibuk selain mempunyai bisnes sambal sendiri untuk diuruskan.

“Apa saja yang dia kongsi, saya tak akan ulas. Dia adalah ibu saya dan saya pasti semua orang ada masalah keluarga. Harap kami dapat bincang dan selesaikan isu keluarga secara privasi,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Tayangan Gala filem Sahak Gangster di sini, semalam.

Katanya, keadaan diri termasuk emosi masih dalam keadaan baik dan menganggap semua yang berlaku adalah satu bentuk ujian hidup.

Nelissa juga menegaskan dia tidak pernah mempunyai niat untuk menjadikan isu keluarga sebagai bahan bualan ramai.

Saya tidak rasa ralat, okey sahaja dan anggap semua ini sebagai ujian. Dia sebagai ibu memang berhak untuk cakap apa sahaja.

“Saya pilih untuk selesaikan semua ini dengan keluarga dan tidak rasa cerita seperti ini perlu dihebohkan kepada umum sebab itu bukan niat saya.

“Tak mengapa orang nak cakap apa sahaja. Kalau nak cakap biar kepada saya, bukannya tentang ibu,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dia juga harus bersikap profesional agar isu peribadi tersebut tidak memberi impak kepada kerjaya seni.

Setakat ini keadaan saya okey sahaja dan perjalanan hidup saya, hanya keluarga sahaja yang lebih mengetahui.

“Saya dapat tahu mengenai hal ini ketika berada di Karnival Jom Heboh di Sabah minggu lalu dan sedang bekerja.

“Memang perlu profesional ketika itu dan pastikan orang sekeliling okey dan tidak terkesan,” jelasnya.

Terdahulu, Ayu menerusi sebuah program menyangkal pengakuan Nelissa yang didakwa pernah menjadi mangsa dera dan menegaskan perkara tersebut tidak pernah berlaku.

Pada masa sama, ibu kepada empat cahaya mata itu turut mendedahkan hubungannya dengan anak-anak juga renggang sejak kebelakangan ini.

Akuinya, situasi tersebut berkemungkinan berpunca daripada perkahwinan baharunya kurang disenangi sehinggakan ketika jatuh sakit dan dirawat di hospital juga, tiada anak-anak datang menjenguknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok