HAMPIR sebulan ‘berkurung’ dalam rumah, pelakon dan model Scha Alyahya mengakui mengambil masa untuk kembali menjalani aktiviti harian selepas pemergian ibunya, Allahyarham Junainah Hasim pada 7 Disember tahun lalu.
Bukan mudah untuk melalui kehidupan tanpa individu yang sangat dengannya, Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir, 42, berkata, dia mengutip semula semangat dan kekuatan untuk meneruskan hidup seperti biasa daripada suami, keluarga serta rakan terdekat.
“Memang ambil masa tetapi Alhamdulillah saya okey. Hari demi hari saya menjadi lebih kuat dan yakin untuk keluar.
Kekuatan saya dapat daripada ahli keluarga lain dan rutin harian yang saya lakukan. Saya tak boleh patah semangat jadi, saya perlu kembali mulakan hidup.
“Saya dan arwah mak memang sangat rapat, bila dia tiada, memang satu kehilangan besar,” katanya kepadaHibGlam ketika ditemui pada majlis pelancaran butik Amber di sini, baru-baru ini.
Isteri kepada pelakon dan pengacara, Awal Ashaari itu berkata, dia adakalanya terlupa bahawa ibunya sudah meninggal dunia kerana sudah terbiasa membuat panggilan telefon setiap hari.
Mak pernah pesan dekat adik saya, dia kata sekiranya dia sudah tiada satu hari nanti, yang paling dia risau adalah saya.
“Sebelum ini, setiap kali habis penggambaran, perkara pertama yang saya buat adalah telefon mak tetapi sekarang tidak boleh buat begitu lagi.
Kadang-kadang saya terlupa. Nak hubungi mak tapi lupa dia sudah tiada, jadi mahu atau tidak, saya perlu kuat dan harungi semua ini,” jelasnya.
Ditanya tentang kebaikan arwah ibunya yang paling diingati dan diikuti sehingga hari ini ialah sentiasa ingat dan jangan lupa tentang asal usul.
“Kebaikan arwah mak saya ialah dia sangat baik, tak pernah mengata sesiapa dan sangat pemurah.
Itu yang saya cuba didik anak-anak saya. Paling penting dalam dunia ialah hati perlu bersih dan berbakti kepada keluarga serta selalu ingat asal usul kita. Mak didik ingat asal usul
“Ketika dia masih hidup, saya memang pegang benda itu. Kalau boleh jangan buat hal dengan sesiapa pun,” katanya lagi.
Terdahulu, Allahyarham Junainah menghembuskan nafas terakhir pada 7 Disember lalu sekitar pukul 9.40 di sebuah pusat perubatan di ibu negara akibat serangan jantung.
Jenazah Allahyarham seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1. – HIBGLAM