SIAPA sangka seseorang itu yang suka membaca buku boleh terjebak dalam dunia permainan e-sukan, Mobile Legend atau ML yang popular dalam kalangan anak muda.
Perubahan itu yang dilalui Hun Haqeem sejak dua tahun lalu apabila mula ‘mengabadikan’ diri dalam ML yang baginya satu bentuk eskapisme daripada kekusutan dalam kehidupan.
Kata Hun, 26, berjinak-jinak dalam dunia permainan e-sukan adalah usaha untuk mendalami watak filem terbaharu lakonannya iaitu Game On Life.
Lebih mengujakan, dia memegang watak pemain e-sukan terkemuka negara, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz.
Mencabar diri untuk menyelami dunia e-sukan yang sebelum ini asing dalam kehidupannya, Hun berkata, dia pernah bermain ‘game’ selama enam jam tanpa henti.
“Paling lama saya hadap ‘game’ selama enam jam, sedar-sedar sudah sakit belakang sebab main dalam keadaan baring.
Sebelum ini saya tiada stereotaip terhadap mereka yang gila ‘game’ pun cuma tertanya-tanya apa yang buat mereka fanatik sangat.
“Selepas saya terjebak, baru faham keghairahan dan keseronokan e-sukan. Gelaran budak-budak e-sukan kalau dah terjebak adalah ‘najis’ ML,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berpeluang bertemu secara peribadi, dia menyifatkan Soloz sebagai individu menyeronokkan namun dalam masa sama, seorang yang tegas dengan prinsip hidup.
“Sebenarnya, saya pernah ada kebimbangan untuk menjayakan watak Soloz kerana dia figura yang masih hidup.
Saya bertuah dia banyak kongsi perjalanan hidup sebagai pemain e-sukan, sekali gus membantu untuk pembentukan watak saya dalam filem ini.
“Dia juga beri ruang kepada saya untuk menghubunginya jika memerlukan apa saja input mengenai kehidupannya sejak kecil sehingga sekarang sudah berumah tangga,” ujarnya.
Lebih membuatkan dia kagum, Soloz mampu membahagikan masa dengan baik sebagai pemain e-sukan, tugas seorang Muslim dan tanggungjawab untuk keluarga.
Selepas menelusuri kehidupan Soloz, saya perhati dia selalu ingatkan pengikutnya jangan sesekali meninggalkan solat, itu paling dititikberatkan.
“Dari situ, saya tegaskan bahawa e-sukan mampu menjadi satu bentuk kerjaya tetapi individu tersebut harus bijak menyusun atur kehidupan agar tidak hanyut,” jelas pemilik nama penuh Haqeem Hermy itu.
Game Of Life arahan Syafiq Yusof itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Jaa Suzuran, Ikmal Amry, Syafie Naswip, Imran Aqil, Nia Atasha dan ramai lagi.
Hilang populariti?
Ketika ini, namanya boleh dikatakan berada di puncak kerjaya, apatah lagi selepas memenangi trofi Aktor TV Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 tahun lalu.
Ditanya sama ada pernah diulit rasa bimbang populariti dan kemegahan yang dimiliki hari ini lenyap tiba-tiba, Hun sebaliknya reda sekiranya perkara tersebut berlaku satu hari nanti.
Mestilah pernah terfikir tetapi bagi saya itu adalah lumrah kehidupan terutama sebagai anak seni. Cuma saya tak akan cuba untuk memaksa apa-apa keadaan sekalipun.
“Kalau sudah tiba masa karier seni ‘slow down’ atau jatuh, saya terima sebab semua itu memang akan tiba, cuma tidak tahu bila.
Mungkin Tuhan nak beritahu supaya saya rehat atau berhenti seketika dari dunia lakonan.
“Jadi, ketika rezeki banyak hadir ini, saya cuba sehabis baik lakukan tanggungjawab sebagai pelakon,” ujarnya.
Katanya, situasi tersebut sama juga seperti dia menerima mana-mana tawaran lakonan tanpa memikirkan karya tersebut berjaya atau tidak.
“Sama juga saya terima setiap tawaran lakonan, kita tak akan tahu karya mana yang akan ‘meletup’ dan sebaliknya.
Macam saya sebelum ini, saya tak pernah jangka drama Kampung People menaikkan nama saya. Ketika itu, saya lakukan hanya untuk kelangsungan hidup.
“Jadi, ikut sahaja aturan yang Tuhan sudah tetapkan dan jangan terlalu memaksa keadaan mengikut kehendak kita,” ujarnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM
caption