Jangan jaga jodoh orang – Ara Johari

SERING gagal dalam percintaan, penyanyi Ara Johari menitipkan nasihat kepada individu yang berdepan situasi serupa.

Ujar Ara atau nama lengkapnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 28, pengalaman pahit dalam perhubungan terdahulu membuatkan dirinya kini lebih berhati-hati.

“Sukar untuk saya katakan. Saya selalu ingatkan diri jangan bercinta dengan orang yang salah.

“Lebih senang, nasihat saya, jangan jaga jodoh orang,” katanya menerusi audio siar yang dihoskan pelakon Amelia Henderson.

Menariknya nasihat dan respons pelantun lagu Bunga itu membuatkan Amelia tergamam seketika sebelum meluahkan perasaannya.

Itu sangat sakit. Saya sedang berfikir tentang masalah yang sebenarnya saya tak perlu untuk bercerita pun,” kata Amelia.

Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen senada dengan naib juara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) itu selain turut berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan hubungan yang pernah gagal.

“Apa yang Ara katakan itu sangat betul. Jangan biarkan diri kita terperangkap dalam hubungan sia-sia,” tulis seorang pengguna media sosial.

Saya juga pernah menjaga jodoh orang lain. Sakitnya bukan sedikit. Terima kasih Ara atas ingatan ini,” komen seorang netizen.

“Amelia seperti tersentak dan terkedu, mungkin teringatkan kisah percintaan lampau yang kandas tengah jalan,” kata seorang lagi netizen.

Ternyata, nasihat Ara Johari bukan sekadar kata-kata biasa tetapi membuka mata ramai untuk lebih berhati-hati dalam memilih pasangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok