PELAWAK terkenal Harith Iskander membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh susulan perkongsian dalam media sosial berkaitan isu perkataan ‘ham’ baru-baru ini.
Menurut bekas isteri yang juga pengurusnya, Dr. Jezamine Lim, Harith berkata, ugutan tersebut diterimanya pada minggu lalu tetapi paling mengecewakan apabila anak-anaknya turut terkena tempias daripada isu tersebut.
“Minggu lalu, saya menerima ugutan bunuh yang tetapi apa yang lebih mengecewakan adalah terdapat pihak melemparkan kecaman yang teruk terhadap anak-anak saya.
“Mengancam keselamatan kanak-kanak yang tidak bersalah sudah melampaui batas. Perkara tersebut sangat keji, pengecut dan tidak berperikemanusiaan.
“Laporan polis juga sudah dilakukan dan pihak berkuasa sedang melakukan siasatan. Saya enggan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung isu tersebut,” katanya dalam Instagram hari ini.
Dalam pada itu, Harith dan Jezamine turut kecewa apabila persembahan komedi yang sepatutnya berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) hari ini dibatalkan disebabkan isu tersebut.
“Saya dan Harith berasa amat kecewa dengan pembatalan persembahan Harith di DFP. Selepas perbincangan, ini adalah keputusan terbaik untuk kami.
“Keputusan ini bukan mudah untuk kami lakukan kerana Harith telah mencurahkan persiapan dan kerja keras selama berbulan-bulan.
“Paling membuatkan kami kecewa kerana Zander dan Zydane sepatutnya menjadi sebahagian daripada persembahan pembuka.
“Namun, kami menerima keputusan pembatalan persembahan tersebut demi kepentingan keselamatan dan keselamatan,” ujarnya.
Harith dan Jezamine juga kesal dengan sikap segelintir individu yang mudah melemparkan kata-kata negatif selepas itu tersebut tular.
“Saya sedih melihat orang ramai yang mudah melemparkan rasa kebencian, menyebarkan kemarahan dan menulis perenggan komen kesat dalam media sosial.
“Saya sudah diajar Allah SWT untuk melakukan kebaikan kepada semua orang, tanpa mengira tindakan atau status mereka,” katanya lagi.
Sebelum ini, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik pelawak berusia 54 tahun itu memaparkan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’.
Harith dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.
Rentetan itu, ramai individu serta wakil pertubuhan mengutuk tindakannya yang disifatkan biadab, malah Polis Johor juga mengesahkan menerima tiga laporan polis. – HIBGLAM