Enggan tipu diri, netizen – Neera Azizi tolak permintaan tanggal tudung

PERNAH ‘digula-gulakan’ bayaran lumayan dengan syarat buka tudung, pelakon Neera Azizi sanggup menolak tawaran sebuah drama 50 episod atas dasar prinsip.

Neera atau nama sebenarnya Nurazneera Azizi, 27, berkata, baru mengenakan hijab ketika itu tidak bermakna dia sanggup menipu diri sendiri dan penonton dengan membuka aurat semula.

“Memang saya dapat banyak tawaran berlakon selepas pakai tudung termasuk drama bersiri 50 episod tetapi watak saya ‘free hair’ sebab produksi tak tahu saya dah berhijab.

Mereka sarankan saya buka tudung masa penggambaran dan pakai semula selepas itu dengan alasan orang tak tahu saya sudah berhijrah ketika itu.

“Takkan saya mudah gelap mata? Saya enggan tipu diri sendiri dan netizen, jadi saya tolak. Tidak mengapa, saya yakin banyak lagi tawaran lain,” katanya pada pelancaran filem Hukum Kifarah, baru-baru ini.

Menurut Neera, berkat sabar serta istiqamah akhirnya dia ditawarkan rezeki lebih besar iaitu sebagai penyampai radio Rakita sejak September tahun lalu.

“Sebenarnya semua ini ujian buat saya yang baru belajar bertudung bermula pertengahan 2024 selain melihat sejauh mana ketahanan jiwa saya.

Tawaran diberikan besar tapi selepas itu saya dapat rezeki lebih bermakna seperti menjadi penyampai radio dan terbaharu berlakon filem Hukum Kifarah.

“Insya-Allah, kita kena selalu bersangka baik. Saya bertuah mempunyai sokongan kuat insan sekeliling terutama keluarga dan tunang,” ujarnya.

Bakal mendirikan rumah tangga pada Julai ini, Neera juga yakin perkahwinan tidak akan menjejaskan rezekinya dalam industri hiburan.

Apatah lagi bakal suami yang juga mutawif, Hafizi, 26, memberi galakan untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon asalkan menggariskan batasan tertentu.

“Kalau kita fikir nama sedang naik tapi tiba-tiba kahwin boleh memberi kesan kepada tawaran, bagi saya perkahwinan itu juga satu rezeki.

Tak boleh nak anggap kalau kahwin nama saya akan jatuh, bukan begitu. Saya percaya rezeki selepas kahwin lagi luas,” katanya.

Terdahulu, pelakon drama Syurga Itu Bukan Mudah mengikat tali pertunangan hanya selepas beberapa bulan berkenalan dengan dengan Hafizi pada 26 Oktober 2024.

Dalam Hukum Kifarah yang akan memulakan penggambaran bulan depan, Neera bergandingan dengan Farid Kamil, Datuk Jalaluddin Hassan, Syaiful Zero dan Imuda. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok