‘Emosi mudah terusik, cepat menangis sejak jadi ibu’

SEJAK bergelar seorang ibu, penyanyi Nabila Razali mengakui hatinya mudah tersentuh terutama apabila melihat video memaparkan kesukaran hidup dilalui insan lain.

Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 33, berkata emosi dirinya sering terusik apabila menyaksikan kesukaran hidup golongan tertentu, termasuk kanak-kanak.

“Kebelakangan ini Bella sangat sensitif. Emosi mudah terusik dan cepat menangis.

Lebih-lebih lagi apabila nampak video berkaitan hal anak, isu buli, orang kurang upaya, semuanya buat hati tersentuh,” katanya menerusi Instagram Story.

Dalam hantaran tersebut, pelantun lagu Pematah Hati itu turut memuat naik semula video menyentuh hati memaparkan sepasang suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sedang menguruskan anak mereka ketika menaiki pengangkutan awam.

Difahamkan, pasangan itu keluar mencari rezeki sambil membawa pembesar suara untuk menghiburkan orang ramai.

Tidak dapat menahan rasa sebak, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendoakan dirinya menjadi insan lebih bersyukur dan berharap golongan yang diuji kesusahan diberikan kekuatan.

Ya Allah, jadikanlah aku orang yang bersyukur dengan nikmat-Mu. Semoga saudaraku di luar sana yang dalam kesusahan terus kuat.

“Bella doakan agar urusan mereka dipermudahkan di dunia dan di akhirat,” ujarnya.

Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok