BERHARAP gencatan senjata di Gaza berkekalan, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berharap dapat menyantuni pelajar dan guru Sekolah Afwa Al-Aafiyah yang dibina Yayasan Nurjiwa jika keadaan kembali pulih.
Penghibur berusia 46 tahun itu, berkata semangat juang kanak-kanak serta tenaga pengajar meneruskan pembelajaran biarpun premis sekolah musnah dibom zionis cukup menyentuh perasaannya.
“Saya memang berhasrat ingin ke Gaza untuk berjumpa dengan guru serta pelajar-pelajar Sekolah Afwa Al-Aafiyah sekiranya keadaan sudah aman dan tenang.
“Walaupun sekarang gencatan senjata namun belum dapat dipastikan keadaan di Palestin aman terus aman. Suami turut menasihatkan agar tunggu situasi benar-benar pulih,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak bersama Umairah sebagai artis naungan label miliknya, Siti Nurhaliza Legacy (SNL).
Menurut Siti lagi, pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa di Palestin menerusi perkongsian info daripada seorang guru di Sekolah Afwa Al-Aafiyah iaitu Dr. Mohanad.
“Sebagai penyumbang bantuan dana ke Palestin, kami di Yayasan Nurjiwa bersyukur masih dapat berhubung dengan Dr Mohanad yang banyak membantu menguruskan hal ehwal kira-kira 100 pelajar dan lapan guru di sana.
“Selain tenaga pengajar, sekolah itu turut mempunyai beberapa sukarelawan yang menolong melancarkan urusan terutama ketika peperangan. Mereka sekarang terpaksa berpindah beberapa kali ke lokasi selamat.
“Kini, saya dimaklumkan warga sekolah Afwa Al-Aafiyah semuanya selamat dan berada di Khan Yunis iaitu kawasan persisir pantai. Kita di Malaysia teruskan berdoa agar pergolakan ini berakhir,” ujarnya.
Ditanya perancangan pembinaan semula sekolah di bawah yayasannya, Siti menjelaskan, hasrat tersebut sememang ada namun masih belum boleh diteruskan sehingga keamanan di Palestin kembali.
“Buat masa ini, Yayasan Nurjiwa hanya meneruskan penghantaran bantuan untuk guru, pelajar, sukarelawan sekolah serta penduduk Palestin berupa keperluan pakaian musim sejuk dan makanan seperti biasa.
“Bagi musim sejuk sekarang, kita tahu mereka di sana (Palestin) sangat memerlukan pakaian tebal dan makanan. Bagaimanapun, sekolah belum dapat beroperasi sepenuhnya.
“Cuma macam yang saya cakap proses pembelajaran masih berjalan seperti biasa di kem-kem sementara kerana pendidikan antara fokus utama,” katanya.
Siti juga memaklumkan pernah ke Gaza sekali gus dapat berkunjung ke Masjid Al-Aqsa pada 2017 yang membuatkan pengalaman tersebut sangat dirindukan. – KOSMO! ONLINE