Nama dipetik pihak tidak bertanggungjawab kononnya dia bersekedudukan dengan suami orang, penyanyi Nadeera menyangkal dakwaan itu sekeras-kerasnya.
Malah, Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 31, menegaskan tidak pernah mengambil tahu permasalahan orang lain terutama melibatkan rumah tangga.
“Saya tak tahu cerita ini tentang siapa dan paling utama tiada kena-mengena dengan hidup saya.
“Saya juga bukan seorang yang suka memberi komen atas urusan mahu pun kerja orang lain lebih-lebih lagi melibatkan hal rumah tangga orang.
Jadi, saya memang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Individu terbabit bukan saya dan tiada kaitan dengan saya,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Bukan Lagi Kita itu turut memaklumkan sedang sibuk menumpukan perhatian terhadap kerja seni demi membahagiakan ibu bapanya.
“Sekarang, saya hanya fokus dengan kerjaya saya sahaja.
Saya ingin merealisasikan impian dan harapan ibu bapa, sebab itu saya kena bekerja keras,” ujarnya.
Sebelum ini, tular dakwaan tentang seorang penyanyi program realiti televisyen yang dikatakan menganggu rumah tangga rakan baiknya.
Dalam ruangan komen, ada netizen memetik nama Nadeera sebagai individu yang tanpa semena-mena didakwa sebagai penyondol. – HIBGLAM