Lali dikecam, penyanyi Arrora Salwa tidak kisah dengan tanggapan negatif segelintir netizen yang mendakwa dia hanya ‘menjual’ wajah cantik berbanding bakat nyanyian di pentas Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Kata Arrora, 40, dia menganggap semua kecaman tersebut sebagai satu bentuk hiburan dan berlapang dada.
“Saya di GV11 hanya sebagai penyeri sahaja? Okeylah orang cakap macam itu. Biar sajalah saya jadi pasu bunga sekali pun.
Sekurang-kurangnya ada juga penyeri di situ iaitu saya. Rezeki Allah SWT sudah beri dan jangan menidakkan takdir.
“Secara jujur, saya selalu anggap setiap minggu adalah minggu terakhir. Sebab itu saya pada peminat supaya jangan letak sebarang harapan terlalu tinggi, risau kecewa. Konsep saya, redah sahaja,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tidak menyatakan dirinya kalis kecaman, dia sebaliknya enggan melayan komen sebegitu kerana mahu memastikan kesihatan mental terjaga.
Sebenarnya saya bukan bongkak tetapi semua komen negatif itu, kalau dilayan akan ganggu kesihatan mental.
“Saya anggap semua itu sebagai satu bentuk hiburan. Selagi tidak ganggu periuk nasi, memburukkan nama baik, saya okey,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia meminta pihak yang mengecamnya membuka mata dan sedar bahawa pentas GV11 merupakan sebuah platform besar dan mampu membuka lebih banyak pintu rezeki untuk setiap penyanyi bertanding.
“Kalau lihat betul-betul, pentas GV adalah pentas bisnes yang sangat besar.
Pentas ini bukan hanya untuk menyanyi tetapi banyak lagi peluang yang akan terbuka selepas ini.
“Jadi, kepada netizen, kalau nak bercakap, buka minda dan lihat betapa besarnya pentas GV ini,” katanya lagi.
Selain dikecam dan didoakan agar tersingkir dari GV11, Arrora juga difitnah menggunakan khidmat bomoh atau ‘mak esah’ untuk memenangi pertandingan tersebut.
Sudah minggu kelapan, selain Arrora, lapan penyanyi lain yang masih bersaing ialah Liza Aziz, Ronnie Hussein, Ning Baizura, Sheila Abdul, Fairuz Selamat, Zehra Zambri, The Lima dan Dadali Dyrga. – HIBGLAM